• 17 Jun 2021 | 7 Zulkaedah 1442

KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Program Pelita Raya di Kampung Budaya, Muzium Negeri di sini yang berkonsepkan perkampungan asli dalam norma baharu  berjaya mengembalikan nostalgia Aidilfitri tahun ini meskipun dalam keadaan dunia dilanda COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, program tahunan sehingga 11 Mei tersebut menyerlahkan suasana budaya lama ditambah lagi dengan pelbagai rumah dan tema tradisional.

Katanya, antara replika pelita raya dihasilkan oleh pejabat tanah dan daerah (PTD) adalah seperti replika sotong (Marang), kapal terbang (Kuala Nerus), penyu (Dungun) dan lain-lain lagi iaitu simbolik dengan tarikan di daerah tersebut.

“Pengunjung boleh datang setiap malam dari pukul 9 malam hingga 12 tengah malam tanpa cas kemasukan dan boleh menikmati suasana dihasilkan tujuh daerah yang terlibat dalam pertandingan ini.

"Daerah Besut dikecualikan kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 20 Mei, walaupun PTD tersebut belum terkesan akibat penularan virus,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Walkabout Pelita Raya di Musium Negeri Terengganu, malam semalam.

Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.

Mengulas tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) di tarikan tersebut, Ariffin menjelaskan, had pengunjung adalah 300 orang pada satu-satu masa hasil saranan Majlis Keselamatan Negeri (MKN).

“Kami sedar akan peningkatan kes positif COVID-19 baru-baru ini dan hasilnya SOP ketat diaplikasikan di sini.

“Walaupun dengan peraturan sedemikian, namun kemeriahannya masih ada,” jelasnya.

Seorang pengunjung, Saifol Nahrain Hashim, 43, berkata, program pelita raya mengembalikan kenangan nostalgik pada sewaktu dahulu yang menggunakan pelita sebagai sumber cahaya.

Saifol Nahrain Hashim bersama keluarganya melihat replika Drawbridge Kuala Terengganu

“Saya bawa isteri dan tiga anak untuk tunjuk kepada mereka bagaimana seronoknya malam raya pada zaman saya dahulu.

“Ini memperkenalkan generasi muda kepada kehidupan sebelum elektrik, Kampung Budaya ini juga sesuai untuk pertunjukkan seperti ini,” katanya yang datang dari Rhu Rendang, Marang.