• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Peluang Kerja : Dakwaan ADUN Selangor Tidak Benar

KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri yang mengatakan Exco kerajaan Terengganu terpaksa ke Karnival Jom Kerja Negeri Selangor bagi mencari pekerjaan untuk rakyat negeri Terengganu adalah tidak benar.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), Aminuddin Omar menegaskan, tiada keperluan untuk menumpang program di Selangor memandangkan kerajaan Terengganu sudah menganjurkan karnival kerjaya sejak April 2021 di setiap daerah.

"ADUN dari Selangor itu perlu memberikan fakta lanjut mengenai tuduhan yang dilemparkan.

"Beliau perlu jelaskan 'Job Fair' mana, bila tarikhnya dan di mana lokasinya," ujarnya dalam satu kenyataan menafikan tohmahan songsang terbabit.

Karnival pekerjaan anjuran kerajaan negeri di Setiu.

Menurut Aminuddin, ADUN PKR itu juga tersilap apabila mengatakan kerajaan Terengganu melakukan program pelepasan rakyat Terengganu yang mendapat pekerjaan di Matsushita, Shah Alam hasil 'job fair' di Selangor.

"Sebenarnya program pelepasan pekerja baru ke Panasonic Appliances Air-Conditioning (M) Sdn Bhd (PAPAMY) yang mendapat kerja hasil karnival kerjaya kerajaan negeri yang diadakan di Besut, Kuala Terengganu dan Dungun pada bulan Oktober dan November 2021. 

"Program 'flag-off' ini diadakan bagi memberi sokongan moral dan motivasi kepada pekerja- pekerja baru, yang kebanyakannya terdiri daripada para belia," katanya.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman di 'job fair' di Terengganu, bukan Selangor.

Tambah beliau, peluang pekerjaan yang ditawarkan PAPAMY kepada rakyat Terengganu juga adalah hasil usaha proaktif kerajaan negeri melalui libat urus dan MOU dengan Panasonic.

"Bukan melalui karnival kerjaya di Selangor. Sebaliknya Karnival Kerjaya di Terengganu yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia.

"Hasil karnival itu juga amat memberangsangkan, dilaporkan sebagai tertinggi pada masa itu. Ia telah dihadiri oleh lebih 2,300 pencari kerja dan menghasilkan penawaran kerja (job offer) secara lansung sebanyak lebih 900 tawaran," maklum beliau.

Kerajaan Terengganu turut memperkenalkan aplikasi S@MPAI bagi membolehkan kerja kosong dapat disalurkan ke peringkat akar umbi.

Terdahulu, tular ucapan Syamsul dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor kelmarin yang membuat tuduhan palsu mengenai isu terbabit.

Ucapan itu menimbulkan pelbagai fitnah jahat terhadap kerajaan negeri sehingga ada yang mengatakan Terengganu tidak pernah mengadakan karnival perkerjaan kerana tiada peluang kerja ditawarkan.


Tag: