Perdagangan Terengganu Catat Lonjakan, Imbangan Dagangan Naik 60.1 Peratus
KUALA TERENGGANU, 25 Jun – Tokoh industri tenaga menyifatkan sikap proaktif kerajaan negeri Terengganu bakal melonjakkan negeri itu sebagai hab tenaga boleh baharu dan perkhidmatan sokongan industri minyak dan gas yang unggul di rantau ini.
Pengarah Urusan Advantage Marine Services, Andrew Teow, berkata Terengganu memiliki segala ciri yang diperlukan termasuk dari teknologi dan fasiliti lengkap hingga tenaga kerja mahir untuk menjadi pesaing serius kepada pusat industri serantau seperti Singapura.
“Sebagai contoh, pasukan pengurusan di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) sangat agresif dan terbuka untuk mendengar pandangan serta aktif menjalin kerjasama dengan syarikat luar.
“Di samping itu jika kerajaan negeri kekalkan pendekatan yang proaktif dan sokongan yang berterusan seperti sekarang, saya yakin Terengganu boleh pergi jauh.
“Jika momentum ini diteruskan dan kerajaan terus memimpin secara berani, Terengganu bukan sahaja boleh jadi peneraju tenaga hijau malah boleh mengatasi beberapa hab serantau,” tegas beliau mewakili syarikatnya yang berpengkalan di Johor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui East Coast Energy 2025 (ECE 2025) kelmarin.
Beliau turut menyeru agar lebih banyak syarikat tempatan percaya pada kemampuan infrastruktur dalam negeri sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada fasiliti luar negara.
Dalam nada yang sama, Shazli Razak, Bendahari Majlis Kejuruteraan Minyak dan Gas Malaysia (MOGEC), menyifatkan ECE 2025 sebagai bukti bahawa Terengganu kini sedang memacu ke hadapan dalam bidang tenaga masa hadapan dengan pelbagai kelebihan yang ada.
“Mungkin kita boleh cari lebih banyak kawasan untuk bangunkan ladang solar dan tenaga hijau yang lain. Negeri Terengganu luas dan masih banyak kawasan simpanan hutan, tasik serta pantai yang sesuai selain kelengkapan infrastruktur minyak dan gas sedia ada.
“Saya yakin Terengganu boleh realisasikan perancangan ini dalam 5 hingga 10 tahun, asalkan semua pihak bekerjasama. Kerajaan negeri juga dilihat sangat menyokong usaha ini dan memberi ruang serta galakan kepada syarikat-syarikat yang berminat.

“Terengganu sedang berada di landasan yang betul. Cuma yang penting sekarang ialah kerajaan negeri terus galakkan pelaburan, sokong penyelidikan dan buka ruang kepada kerjasama pelbagai pihak. Potensi Terengganu belum sampai ke kemuncaknya,” katanya.
Menurut beliau, bank-bank tempatan juga kini giat menyediakan pembiayaan khas seperti ‘Green Energy Financing’ untuk menyokong syarikat-syarikat yang mahu meneroka bidang tenaga boleh baharu.
Katanya lagi, rakyat akan mendapat hasil optimum apabila projek tersebut bermula.
“Rakyat akan dapat peluang pekerjaan. Bila beroperasi nanti pun, tenaga kerja diperlukan. Ekonomi setempat akan berkembang peniaga kecil, kedai makan, pasar mini semua akan dapat tempias manfaat,” katanya.

Persidangan ECE 2025 yang berlangsung selama dua hari menjadi platform penting menghimpunkan tokoh industri dari dalam dan luar negara.
Antara topik utama ialah tenaga solar, turbin angin, hidrogen dan Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) serta pelanjutan hayat aset industri sedia ada.