• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pemajak Telur Penyu Tidak Hilang Pendapatan

KUALA TERENGGANU, 22 Mac – Pendapatan pemajak telur penyu di Terengganu tidak akan \ terjejas setelah penguatkuasaan Enakmen Penyu 1951 pindaaan 2021 dilaksanakan  mulai 1 Jun 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata ini kerana pemajak telur penyu masih boleh mendapatkan hasil daripada kawasan pajakan namun dengan pindaan beberapa syarat.

Katanya, mereka tidak akan kehilangan pendapatan walaupun telur penyu yang dikutip tidak dibenarkan lagi dijual di pasaran terbuka.

"Mereka perlu menjual sepenuhnya telur terbabit kepada Jabatan Perikanan dan mana-mana pihak yang diberi kebenaran bagi tujuan penetasan sahaja.

“Kadar harga belian telur penyu dikurangkan supaya tidak membebankan kewangan kerajaan, Jabatan Perikanan dan pihak yang membantu.

"Kerajaan juga akan menambah peruntukan kepada RM900,000 setahun bagi tujuan pembelian telur penyu daripada pemajak berbanding peruntukan kira-kira RM600,000 sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, kerajaan juga meneruskan pelaksanaan secara berterusan program pengurusan penyu seperti menanam telur penyu, pelepasan anak penyu, mengadakan pemantauan di pantai, pembelian telur penyu dari pemajak, program sukarelawan. 

Dalam pada itu, Dr Azman berkata, pelaksanaan pindaan enakmen ini samada akan mengembalikan era kegemilangan Terengganu sebagai lokasi utama pendaratan penyu adalah terlalu subjektif. 

Sehingga kini, negeri Terengganu masih merupakan negeri tertinggi yang menerima pendaratan penyu di Semenanjung Malaysia dan dalam masa yang sama turut dikenali sebagai hub penjualan telur penyu. 

Dr Azman berkata, kemungkinan untuk penjualan telur penyu di pasaran gelap juga boleh berlaku namun sekiranya berjaya dikesan, tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang didapati terlibat dalam aktiviti tersebut.

Pada tahun 2021, sebanyak 7,378 sarang pendaratan penyu telah direkodkan dan berjaya mengeramkan sebanyak 582,096 biji. Sebanyak 432,321 anak penyu berjaya dilepaskan.