• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pemanah OKU Buktikan Kebolehan

KUALA TERENGGANU, 24 Julai- Salah seorang wakil Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu yang akan menyertai Cabaran Panahan Dinamik 3D Muhibah 2023 di Kampung Budaya Terengganu, Sabtu ini memasang impian untuk membawa pulang kemenangan.

Di sebalik status diri sebagai Orang kelainan Upaya (OKU) Penglihatan, Saharudin Zakaria, 54, yang berasal dari Dungun mahu buktikan dirinya berupaya memperlihatkan aksi memanah setanding golongan normal.

Katanya, minat terhadap sukan memanah tradisional mula timbul apabila aktiviti itu diperkenalkan PERTIS bagi membolehkan ahli persatuan beriadah selain mengamalkan sunah Nabi Muhammad.

Menurut Saharudin, aktiviti memanah bagi OKU sepertinya memerlukan bantuan jurupandu arah untuk memberikan panduan terhadap sasaran yang tepat sebelum anak panah dilepaskan.

“Sejak bersama PERTIS, saya selalu memasuki pertandingan memanah dan terbaru di Perkaya, Marang.

“Untuk pertadingan kali ini, saya akan buat yang terbaik dengan bantuan juru pandu arah, walaupun sedar kekurangan diri tapi bagi saya dalam pertandingan lawan tetap lawan,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi sidang media Cabaran Panahan Dinamik 3D Muhibah 2023 di Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium Negeri Terengganu, semalam. 

Katanya, bagi bersaing dalam kategori Kumpulan Cacat Penglihatan yang juga akan disertai 10 wakil PERTIS, dia akan meningkatkan latihan untuk memantapkan lagi stamina sebelum hari pertandingan.

Sementara itu, jurupandu arah memanah PERTIS, Alauddin Omar,43, yang akan berpasangan dengan Saharudin pada hari pertandingan memberitahu, sukan memanah memang tidak asing dengan warga PERTIS kerana setiap bulan akan diadakan liga memanah antara mereka.  

“Setiap bulan akan ada liga, jadi tidak ada masalah untuk menyertai pertandingan ini kerana mereka sentiasa bersedia.

“Sebagai jurupandu arah, cabaran terbesar kita adalah untuk membina keserasian bersama pemanah OKU penglihatan.

“Mereka bukan macam orang normal, tetapi bila sudah biasa dan selalu bersama, kita boleh bekerjasama dengan baik,” ujarnya.