KUALA NERUS, 2 Julai – Program Pemantapan Bacaan Imam dan Bilal julung kali diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai usaha memperkukuhkan kemahiran bacaan al-Quran dalam kalangan imam dan bilal, khususnya dari aspek tajwid, makhraj serta sifat-sifat huruf.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, program tersebut bertujuan memastikan bacaan Al-Quran yang diperdengarkan ketika memimpin solat sentiasa tepat, fasih dan menepati hukum-hakam tajwid, sekali gus meningkatkan kualiti kepimpinan ibadah di masjid dan surau.

“Penganjuran program turut melibatkan para bilal memandangkan mereka merupakan individu yang sering menggantikan imam apabila diperlukan. Oleh itu, bilal juga perlu sentiasa bersedia untuk memimpin solat dengan bacaan yang tepat dan sempurna,” katanya.

Menurut beliau lagi, program tersebut merupakan hasil kerjasama antara Pusat Khidmat Masyarakat DUN Buluh Gading (PKMDBG) dengan Kolej Al Quran Terengganu (KQT) serta Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dan dihadiri oleh 38 peserta.

Beliau juga berharap agar program seumpama ini turut menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman dalam kalangan imam dan bilal bagi memastikan syiar Islam terus diperkasakan melalui penyampaian bacaan Al-Quran yang berkualiti kepada masyarakat.
Tag :