• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Pemantauan Aktiviti Bom Ikan Perlukan Kerjasama Pelbagai Pihak - MB Terengganu


KUALA NERUS, 9 Julai - Kerjasama pelbagai pihak diperlukan dalam usaha menangani aktiviti pengeboman ikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri berkata, langkah itu perlu diambil bagi memastikan kejadian segelintir nelayan yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengeboman ikan sehingga menyebabkan tiga penyelam maut di perairan Semporna, Sabah baru-baru ini tidak berlaku di negeri ini.

Menurut beliau, kegiatan mengebom ikan bukan sahaja berlaku di kawasan laut, malah sebelum ini turut melibatkan sungai, tasik dan sebagainya.

“Jadi pemantauan yang dilakukan mestilah daripada pelbagai agensi dan kerajaan negeri yang menjadi mata dan telinga bersama dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk memastikan jika ada kejadian seumpama ini berlaku, kita akan laporkan kepada pihak berkuasa.

“Malah, nelayan sendiri boleh memainkan peranan. Mereka boleh berhubung terus dengan ahli majlis ataupun MPKK di tempat masing-masing untuk menyalurkan maklumat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bengkel Penyediaan Pelan Induk Pembangunan Sukan Sepuluh Tahun Negeri Terengganu (2021-2030) di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah MSNT, Ibnu Amin Busu.


Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan menggunakan apa jua cara di bawah bidang kuasa kerajaan negeri untuk memastikan bahawa aktiviti seperti ini bukan sekadar tidak berleluasa tetapi tidak berlaku di negeri ini.

“Penguatkuasaan memang sudah jelas kepada mereka yang menggunakan bom ikan bahawa ianya salah dari segi undang-undang dan dari aspek keselamatan juga boleh mendatangkan bahaya kepada pengebom dan orang lain,” ujarnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan dalam kejadian antara jam 2 hingga 4 petang Jumaat lalu, tiga penyelam maut selepas terkena bom ikan ketika melakukan aktiviti menyelam berhampiran Pulau Kalapuan, Semporna.

Mereka yang maut adalah seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Zainal Abdun, 31, dan dua warga China, Zhao Zheng dan Xu Yingjie.

Tag: