• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Pemasangan Perangkap Minyak Tangani Banjir Kilat Di Pasar Payang

KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan memasang perangkap minyak di setiap kedai di Pasar Payang bagi mengelakkan kejadian banjir kilat di dalam premis tersebut terus berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, hasil siasatan ke atas kejadian banjir kilat yang berlaku sebelum ini mendapati ia berpunca daripada perkumpulan lemak dan minyak (grease) dalam saliran.

“Saliran utama atau longkang menjadi sempit dan tersumbat kerana kita dapati orang ramai termasuk peniaga membuang sisa lemak dan ‘grease’ ke tempat terbabit.

“Untuk jangka masa pendek, kita sudah bersihkan aliran yang tersumbat itu, dan bagi jangka masa panjang, persetujuan bersama peniaga telah dicapai untuk dipasang perangkap minyak di kedai-kedai terlibat, surat rasmi akan dikeluarkan sebelum ia dipasang dalam masa terdekat,” katanya kepada UPDI selepas melakukan tinjauan ke Pasar Payang baru-baru ini.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan, pemasangan itu akan memakan kos sebanyak RM200 dan ia akan ditolak sewa bulanan para peniaga.

“Perangkap minyak itu hanya dipasang di ‘outlet’ luar sahaja sebelum ini, jadi untuk akan datang setiap kedai akan dipasang supaya kes banjir kilat di dalam pasar tidak lagi berlaku walaupun pembuangan minyak dan lemak dibuang berlebihan,” ujarnya.

Dr Alias meninjau proses pelaksanaan meter parkir digital di sekitar Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Dr Alias masalah banjir di sekitar Pasar Payang termasuk Jalan Paya Keladi juga dipandang serius pihaknya. 

“Konsultan telah dilantik bagi mengkaji dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu ini.

“Antara yang menjadi cadangan kita ialah pembukaan saliran dan laluan baharu dengan memotong jalan yang ada supaya air dapat dialirkan terus ke sungai kerana saliran sedia ada sudah tidak dapat menampung air sekiranya hujan lebat,” tambahnya.

Dalam perkembangan berbeza, beliau berpuas hati dengan perjalanan proses meter parkir digital yang memudahkan lagi rakyat Terenggganu untuk membuat urusan parkir kereta.

“Kita akan meningkatkan lagi sistem ini dari semasa ke semasa termasuk membuat pembayaran melalui telefon pintar sahaja,” katanya