• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pembangunan Infrastruktur Pulau Perhentian Diharap Tidak Jejaskan Keindahan Alam

Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 11 September - Pengerusi Pertubuhan Muafakat Sejahtera Terengganu, Dato' Yahaya Ali mengharapkan pembangunan infrastruktur yang mahu dilaksanakan di Pulau Perhentian tidak akan menjejaskan ekosistem pulau berkenaan.

Katanya, pembangunan infrastruktur di pulau tersebut perlu dilakukan dengan perancangan yang teliti dan bersifat jangka panjang.

"Ianya hendaklah tidak merosakkan keindahan alam semula jadi dan menjejaskan kehadiran para pelancong ke negeri ini," jelasnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pelancongan Komuniti di Pulau Perhentian, semalam 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Besut, Rozali Salleh dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohd Rashdan Muda.

Sementara itu, Yahaya berkata, penduduk pulau berkenaaan juga perlu menjaga kebersihan dan menyantuni pelancong dengan pendekatan agama Islam dan budaya melayu.

"Mereka tidak boleh mengambil kesempatan  dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan kepada pelancong yang datang dengan sewenang-sewenangnya," ujarnya.

Katanya, antara kemudahan infrastruktur di pulau tersebut yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan adalah seperti kemudahan jeti dan lampu jalan.