• 21 Apr 2024 | 12 Syawal 1445

Pembangunan Projek ECRL Lepasi Sasaran

KUALA TERENGGANU, 14 Mac – Status terkini Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga bulan Februari 2021 menunjukkan perkembangan membanggakan selepas peratusan kemajuan dalam negeri ini melepasi sasaran asal.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, keadaan pembangunan semasa projek tersebut adalah kehadapan dengan 3.82 peratus berbanding 1.46 peratus mengikut jadual asal.

“Ini bermakna kita memintas jadual dan merupakan satu petanda baik, jika kita boleh lihat terowong di Paka sudah berjalan dan begitu juga di Bukit Bauk, Dungun dengan pembinaan terowong dalam proses untuk disiapkan.

“Kerajaan negeri turut memulakan perancangan mengenalpasti tanah-tanah bersesuaian bagi pembangunan di sekitar stesen-stesen ECRL dalam lingkungan radius 5 kilometer.

“Pembangunan ini di bawah Economic Accelerated Project (EAP) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam mewujudkan hab kargo, pembangunan kawasan perindustrian dan juga pembinaan secara Townsed Oriendted Development (TOD),” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI baru-baru ini.

Tambah Dr Mamad, pelaksanaan projek di sekeliling laluan kereta api akan berpotensi meligatkan ekonomi negeri khususnya mengukuhkan pelaburan sedia ada serta mengurangkan kos ‘doing business’ dalam negeri.

Berdasarkan laporan sebelumnya, Terengganu akan mempunyai enam buah stesen iaitu Kampung Raja, Kuala Terengganu, Pengkalan Berangan, Dungun, Kemasik dan Chukai yang merangkumi empat stesen penumpang dan dua stesen gabungan penumpang dan kargo.

Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026 merangkumi laluan sepanjang 640 km dengan perubahan jajaran sebanyak 417 km atau 65.2 peratus daripada jajaran asal.