DUNGUN, 3 Februari - Kerajaan Terengganu memberi jaminan bahawa pembangunan 'Transit Oriented Development' (TOD) Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini berjalan mengikut perancangan dan seiring dengan sasaran operasi ECRL yang dijangka bermula pada awal tahun 2027.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, lawatan rasmi ke Tapak Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) ECRL di Kampung Batu Tujuh, Dungun merupakan sebahagian daripada pemantauan kerajaan negeri terhadap perkembangan projek berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, semalam.
Menurutnya, berdasarkan taklimat yang diberikan oleh pihak ECRL dalam kunjungannya itu, kemajuan projek setakat ini masih mengikut jadual yang telah ditetapkan.
"Daripada taklimat yang diberi oleh pegawai daripada ECRL tadi, dia masih lagi ikut jadual dan di peringkat negeri dalam konteks TOD pun kita akan pastikan bahawa kita mengikut perancangan sebelum ini yang kita buat," jelasnya.

Tambah beliau, peruntukan bagi pembangunan TOD telah mendapat kelulusan oleh Kementerian Kewangan (MOF) untuk tempoh empat tahun tersebut, sekali gus membolehkan perancangan dilaksanakan secara menyeluruh.
"Semua ini MOF telah pun luluskan peruntukan bagi tujuan pembangunan selama empat tahun bagi TOD ini sendiri. Jadi kita kena pastikan bahawa TOD ini mengikut jadual yang ditetapkan supaya seiring dengan penyiapan ECRL nanti," tambahnya.