• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pembesaran Jambatan Gong Baru Akan Disegerakan

KUALA TERENGGANU, 15 September –Jambatan di Kampung Gong Baru akan diperbesarkan segera selepas proses permohonan bagi tujuan tersebut mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Mohd Izzat Abdullah berkata, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Batu Buruk telah menghantar permohonan untuk meluaskan jambatan itu pada Ogos yang lalu.

"Insya-Allah perkara ini akan diambil tindakan susulan bagi memastikan ia dapat disegerakan demi kebaikan bersama,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Baru, Mohd Rashid Ibrahim memaklumkan isu ini telah dibangkitkan sejak 20 tahun lalu namun tidak ada tindakan susulan diambil.

"Penduduk kampung menghadapi kesukaran apabila melalui jambatan ini dan terbaru pihak bomba tidak dapat melaluinya ketika berlaku kebakaran di sini baru-baru ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak DUN Batu Buruk yang telah mengambil perhatian akan isu ini dan saya harap ia dapat disegerakan," katanya lagi.

Untuk rekod, berdekatan jambatan itu, sekitar 50 dan 100 meter terdapat dua lagi jambatan yang lebih luas untuk kemudahan masyarakat.

Jambatan tersebut merupakan infrastruktur penting bagi penduduk kampung kerana ia menghubungkan beberapa buah kampung di sekitarnya.