KUALA TERENGGANU, 17 April - Pembinaan masjid di kampung Baru Kertih, Kemaman, kini bakal diteruskan kembali setelah sekian lama ditinggalkan terbengkalai.
Pengerusi Jawatankuasa Infrasruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat, berkata tawaran semula bagi menyiapkan masjid yang mampu memuatkan 2,000 jemaah itu telah pun diluluskan.

"Pihak kerajaan negeri telah meluluskan tawaran semula bagi menyiapkan kerja- kerja terbengkalai Masjid Kampung Baru Kertih, Kemaman sebagaimana keputusan Mesyuarat Projek Sakit peringkat Negeri pada 8 September 2024.
"Pihak JKR bersama UPEN dan JHEAT telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi menyelaras skop kerja berdasarkan siling projek yang telah diluluskan.
"Projek akan diteruskan dengan mengguna pakai baki siling projek sedia ada dan skop kerja adalah sehingga mencapai kos RM 4.5 juta sahaja, berdasarkan kefungsian paling minima.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai itu, surat niat bagi kerja pembinaan tersebut telah mula dikeluarkan pada 13 hari bulan April yang lalu.
"Pelawaan tender dijadualkan pada 24 April 2025, tarikh tutup tender ialah pada 25 Mei 2025 dan diikuti dengan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) yang dirancang pada 24 Jun 2025.
"Manakala Tarikh Milik Tapak ditetapkan pada 8 Julai 2025," jelasnya menjawab soalan daripada ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili.
Tempoh pembinaan bagi projek ini adalah selama 18 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 Disember 2026.
