• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pembudayaan Kehidupan Bersyariat Angkat Identiti Sebenar Terengganu

KUALA NERUS, 8 Oktober- Program Pembudayaan Kehidupan Bersyariat yang dilaksanakan Terengganu merupakan satu kesinambungan usaha kerajaan negeri untuk merealisasikan negeri itu sebagai sebuah negeri Maju, Berkat dan Sejahtera.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, membudayakan kembali kehidupan bersyariat merupakan satu jati diri dan identiti kepada kerajaan negeri Terengganu dan seluruh rakyatnya.

“Negeri Terengganu kita terkenal dengan negeri yang mengamalkan kehidupan bersyariat sejak sekian lama. 

“Ini dibuktikan daripada catatan sejarah yang semua kita sedia maklum dengan penemuan Batu Bersurat di Kampung Buluh, Kuala Berang yang bertarikh pada 702 Hijrah bersamaan 1303 Masihi. 

“Peraturan dan undang-undang berasaskan syariat yang terukir pada batu tersebut menggambarkan bahawa rakyat Terengganu telah pun hidup secara bersyariat Islam sejak lebih dari 700 tahun yang lalu,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Dataran Masjid Seberang Takir, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi, Dato’ Satiful Bahari bin Mamat dan ADUN Seberang Takir, Dato' Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Tambahnya, untuk mencapai sebuah negeri yang berkat maka seluruh komponen yang ada dalam negeri iaitu kerajaan, pentadbiran, jentera-jentera, agensi-agensi dan seluruh rakyat mestilah membudayakan syariat Allah SWT.

“Semoga Allah SWT memberikan rahmat dan berkat-Nya kepada kita semua dan kekuatan pada kita semua dalam usaha berterusan kita untuk memperjuangkan syariat Allah.

“Bukan sahaja di bumi Terengganu kita yang tercinta ini, bukan sahaja untuk negara yang kita kasihi ini, bahkan ke serata dunia. Insya-Allah,” katanya.

 


Tag: