100 Asnaf, Anak Yatim DUN Kijal Terima Baucer Persekolahan RM20,000
Pemerkasaaan Syariah Tidak Jejas Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Pemerkasaan syariah di negeri Terengganu dilihat tidak akan menjejaskan kedatangan pelancong ke negeri itu sekalipun pelaksanaan hukuman sebatan syariah yang berlangsung baru-baru ini menimbulkan pelbagai polemik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, perkara tersebut sebaliknya membuktikan suasana di Terengganu lebih tenteram dan selesa untuk keluarga dengan penurunan kadar perlakuan jenayah syariah.
"Saya tidak nampak ia mengganggu, sebaliknya orang ramai lebih bersemangat. Pada mulanya persepsi nampak seperti ada gangguan iaitu sebelum pelaksanaan sebatan berlaku, tetapi selepas ia dilaksanakan, situasi jadi positif.
"Saya tidak jangka ia merencatkan industri pelancongan, orang tuduh Terengganu macam-macam (sebelum ini), saya sehinggakan pernah takut untuk bercakap tentang patuh syariah, tentang mesra Muslim ini. Tetapi, apabila kita buat kiraan betul-betul, kedatangan pelancong sebaliknya melebihi sasaran," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Beliau menambah, suasana kondusif yang diterapkan dalam masyarakat negeri itu turut menarik minat para pemain industri seni dan perfileman.
"Saya hendak maklumkan, pertunjukan pentas dan orang hendak buat filem di Terengganu tidak pernah kita tolak, kita panggil bebincang dan maklumkan prosedur operasi standard (SOP) yang kita tetapkan, terus boleh buat.
"Tahun 2024 sahaja, ada lima produser filem dalam dan luar negara jumpa saya dan ingin buat filem di Terengganu. Mereka katakan ini yang mereka mahu sebenarnya, kita mula-mula ingat mereka akan tolak. Jadi, yang terima itulah yang ikut SOP kita, yang langgar itu bukan datang dan dapatkan bimbingan kerajaan negeri," ujarnya.
Sebagai rekod, sasaran pelancong ke Terengganu adalah 3.5 juta berjaya dicapai dalam masa setengah tahun. Peningkatan ini menyaksikan Terengganu mencatatkan kehadiran 7.8 juta pelancong tahun lalu.