• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Pemimpin Pas Sokong Program Kerajaan Buktikan Politik Matang - A Latiff


Kerjasama antara UMNO dan Pas dalam program yang boleh memberi manfaat dan kepentingan kepada rakyat menggambarkan dimensi baru dalam politik tanah air, kata Ketua UMNO Bahagian Marang, A. Latiff Awang.

Selepas bekerjasama untuk membela rakyat Rohingya pada 4 Disember lalu, kerjasama antara dua parti itu diteruskan lagi di Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Serdang, Selangor.

Terbaru, Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dijangka akan hadir untuk bersama-sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek sempena Majlis Pelancaran Tukun Rig To Reef (R2R) dan Menandatangani MoU Antara Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Petronas di Marang, esok.

A.Latiff berkata, secara peribadi beliau sangat mengalu-alukan dan berterima kasih kepada Ahli Parlimen Marang itu kerana kesediaannya untuk turut serta dalam program tersebut.

 “Ianya satu perkembangan yang bagus dan memberi impak yang besar kepada penduduk Marang khususnya apabila pemimpin tertinggi pembangkang sendiri bersedia untuk bersama-sama kerajaan membantu rakyat.

“Ini menggambarkan satu politik matang yang ditunjukan presiden PAS yang boleh menjadi contoh kepada ahlinya dimana presiden parti sendiri boleh bekerjasama dengan kerajaan untuk kepentingan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kesediaan Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang untuk turut serta dalam Majlis Pelancaran Tukun Rig To Reef (R2R) dan Menandatangani MoU Antara DOF dan Petronas pada sidang media program terbabit di Wisma Darul Iman, hari ini.

A.Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan berkata, kesediaan Abdul Hadi hadir pada program itu menggambarkan pengiktirafan tinggi kepada kerajaan.

“Selaras dengan pendekatan UMNO yang sedia menerima sesiapa sahaja yang sanggup bekerjasama kerajaan termasuk memberi sokongan moral dalam program-program yang boleh memberi manfaat kepada rakyat, ianya menggambarkan dimesi baru dalam politik hari ini, apabila pembangkang boleh duduk semeja dan berbincangkan hal-hal untuk kepentingan rakyat,” ujarnya.


Dalam pada itu katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Shabery kerana memilih lokasi persisiran pantai dan laut Marang untuk melabuhkan tukun R2R.

“Apabila tukun-tukun ini dilabuhkan, ianya menjadikan kawasan itu habitat laut khususnya untuk spesis kerang, ikan, udang dan sebagainya.

“Di situ juga akan berlaku pembiakan dan akhirnya sumber hasil laut akan bertambah di pesisir laut Marang dan memberi pulangan cukup baik kepada kira-kira 2,000 nelayan daerah ini,” ujarnya.

Tag: