• 06 Mac 2021 | 22 Rejab 1442

Pemimpin Perlu Kepada Pembantu Yang Baik- Dato’ Yahaya

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 21 Disember- Kemampuan seseorang pemimpin dalam memikul tanggungjawab mengurus juga terhad dan perlu kepada pasukan kerja secara kolektif.

Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, budaya kerja secara solo atau bekerja dalam komuniti tersendiri wajar diketepikan.

“Apa yang saya kata, pemimpin tidak boleh memikirkan semua perkara. Mereka perlukan pembantu sama ada Personal Assistant (PA), Setiausaha dan apa sahaja orang disekelilingnya itulah yang perlu dibantu untuk memudahkan dia (pemimpin) membuat keputusan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam program Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus Asas Kemahiran Komunikasi Interpersonal di Dewan Dato' Seri Tuan Guru Darul Iman Training Centre (DITC) Teluk Kalong, Kemaman, semalam.

Menurutnya, semua orang mempunyai kelemahan masing-masing dan pemimpin yang baik tidak akan menunding jari kesilapan kepada orang lain.

“Oleh kerana itu, pemimpin yang bagus mestilah mempunyai peribadi yang baik dalam soal berkomunikasi.  

“Seorang pemimpin yang banyak kerja tidak sepanjang masa dia bagus dan akan ada silap serta kelemahan tetapi dari segi personaliti ia mesti menggambarkan gaya seorang pemimpin yang mesti dipertahankan. 

“Sebab itu, mengadakan susasana yang kondusif sangat penting. Bahkan dari segi peribadi seorang pemimpin itu dapat memberikan satu suasana, orang yang rapat dengan beliau (pemimpin) itu boleh jadi pembantu yang baik,” jelasnya.

Justeru, kata Dato’ Yahaya, jika mempunyai sifat lebih demokratik, bersikap terbuka, boleh menjadi pendengar yang baik dan mudah dibawa berbincang adalah ciri pemimpin yang cemerlang dalam sesebuah organisasi.

“Allah SWT kasih kepada hambanya apabila diberi tanggungjawab dia melaksanakan dengan cemerlang.

“Ini mesti kita bina dan menjadikan tanggungjawab kita itu sebagai satu ibadah. Melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini,” ujarnya.  

Menurutnya lagi, pembantu yang baik pula boleh menjadi penasihat kepada pemimpin itu sebagai orang kepercayaan dalam merunding sesuatu perkara.

“Kadang-kadang apabila ada masalah, tempat meluahkan perasan dan masalah itu kepada orang yang rapat dengannya. Sebab itu tanggungjawab pembantu sangat penting.

“Pemimpin kena buat keputusan untuk nak memajukan negara, jabatan dan untuk mencapai ‘keuntungan’ (kejayaan) pemimpin perlu ada pembantu yang hebat,” tegasnya.


Tag: