• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pemimpin Perlu Membuat Keputusan Secara Kolektif

Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 13 November – Pemimpin tidak harus membuat keputusan bersendirian dalam semua perkara tetapi mesti mempunyai sikap pendengar yang sangat baik untuk turut mendengar pandangan dan cadangan dari ahli-ahli bagi memajukan sesebuah persatuan.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, kekuatan segi organisasi bukan sahaja bergantung kepada kepimpinan tetapi juga dengan sokongan dari seluruh ahli.

“Pasukan keselamatan khususnya anggota tentera sudah tentu sentiasa dipandang tinggi oleh semua pihak. Merekalah selama ini dari sejak negara kita mencapai kemerdekaan berkorban menjaga keselamatan rakyat dan negara ini.

"Negara tidak boleh maju sekiranya keselamatan terancam dan tidak ada pihak yang berminat untuk mengadakan hubungan perdagangan atau melabur dalam negara kita. 

“Pengorbanan mereka sehingga ke peringkat nyawa perlu diberikan penghargaan terutama dalam menghadapi ancaman komunis dan penceroboh luar serta segala anasir subversif yang lain. Ancaman keselamatan bukan perkara yang mudah dijangka tetapi pasukan ini perlu sentiasa bersedia pada bila-bila masa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Persidangan Perwakilan Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Terengganu kali ke-62 di Terengganu Equestrian Resort (TER), pada hari ini.

Menurutnya, ketika negara sedang dilanda pandemik Covid-19, pasukan tentera juga dikerah berganding bahu dengan pasukan polis sebagai 'front liners' memikul tugas bagi mengawal orang ramai untuk memutuskan rantaian COVID-19 dari terus merebak.

“Mereka bertugas tidak kira hujan panas, siang malam dan kadang-kadang terpaksa menggadai nyawa mereka sendiri akibat wabak ini.

"Oleh sebab itu saya turut bersama merasa sangat dukacita dan marah apabila ada pihak yang mempertikaikan kedudukan anggota keselamatan tentera kita yang dihubung kaitkan dengan makan gaji buta dan perlu dihantar ke ladang-ladang dan seumpamanya.

“Mereka ini adalah golongan yang tidak mempunyai sifat patriotik kepada negara, bahkan dari satu sudut tidak layak menjadi rakyat negara ini kerana buta atau jahil sejarah selepas mereka sendiri menikmati kemakmuran hasil dari pengorbanan pasukan keselamatan,” ujar Dato’ Yahaya.

Justeru beliau memandang tinggi kesungguhan persatuan ini bergerak dan berharap agar semua ahli perlu banyak bermuhasabah dan mempertingkatkan serta memperbaiki agar menjadi lebih baik daripada sebelum ini.