• 11 Mei 2024 | 3 Zulkaedah 1445

Pemohon Baharu Perlu Isi Borang Dana Perayaan


Pemohon baharu Bantuan Dana Perayaan Aidilfitri 2018 yang  memenuhi syarat kelayakan perlu mengisi borang yang dipaparkan  melalui laman web www.danattb.terengganu.gov.my.

Manakala penerima tahun lalu hanya perlu mengemaskini maklumat  sekiranya terdapat sebarang perubahan berkaitan alamat, jumlah pendapatan, pertambahan bilangan anak, status perkahwinan dan sebagainya.

Borang yang dikemaskini atau  permohonan baharu hendaklah dicetak dan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama salinan dokumen kad pengenalan, surat nikah, surat cerai atau surat mati pasangan dan slip gaji.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin, berkata  bagi pemohon yang tidak mempunyai slip gaji, perlu mengemukakan surat pengakuan pendapatan yang disahkan oleh Pengerusi JKKK atau penghulu mukim.

Katanya, pemohon mestilah seorang pengundi berdaftar di Terengganu. Maklumat yang tidak lengkap boleh menyebabkan permohonan ditolak,

“Permohonan dana itu dibuka selama sebulan, bermula 1 April lalu sehingga 30 April depan.

“Pengagihan dan penebusan baucer dijangkakan bermula pada 17 Mei depan di Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank manakala tempoh sah laku baucer akan berakhir pada 17 September,”katanya.


Tag: