MARANG, 19 Februari -  Pemuda dari Jabatan Amal Malaysia (JAM) Pengkalan Berangan berjaya mewakili Malaysia dalam sukan Bola Sepak Kudung Amputee Football World Cup.

Mat Ridwan Yah,31, berkata, minatnya dalam sukan tersebut tidak pernah luntur walaupun beliau kehilangan kaki kirinya akibat kemalangan beberapa tahun yang lalu.

"Alhamdulillah, pada 25 hingga 28 Februari ini saya akan ke Kuala Lumpur untuk meneruskan sesi latihan saya bersama dengan pemain lain bagi menghadapi perlawanan yang seterusnya yang mana ia akan diadakan di Bangladesh pada 11 hingga 16 Mac ini," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya.

Selain itu, dia juga bukan sahaja aktif dalam sukan bola sepak, tetapi juga turut aktif dalam hal-hal kebajikan yang lain apabila khidmat dan bantuan diperlukan. 
 


"Saya sukarela menyertai Jabatan Amal Malaysia ini, bukanlah kerana nama atau wang, tapi saya kira ia adalah satu tanggungjawab bersama yang kita perlu lakukan dengan sekadar kemampuan yang kita ada.

"Apabila berlakunya sesuatu bencana contohnya, walaupun tiada arahan, tetapi saya merasa amat terpanggil untuk menyertai bersama dalam misi bantuan, seperti mana bencana banjir yang berlaku di Pahang dan Selangor baru-baru ini," ujarnya.

Menurutnya lagi selain dari ke Bangaladesh, pada tahun ini juga akan berlangsung satu lagi acara utama iaitu Kejohanan Bolasepak Orang Kudung Zon Asia Timur Piala Dunia Bolasepak Kudung Oktober nanti di Turki, dan mereka akan susuli dua acara utama ini dengan acara Perlawanan Persahabatan menentang Gaza pada tahun 2023 nanti.


Tag: