• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pemuda Bantu Suri Rumah Jana Pendapatan

DUNGUN, 5 Oktober - Di samping menjana pendapatannya sendiri, seorang pemuda turut berjaya memberi peluang suri rumah di kampungnya untuk menambah pendapatan keluarga. 

Pemilik Alesha Bridal, Mohd Nasir Amin, 31, berkata, apabila mendapat tempahan baju atau pakaian pengantin, pihaknya akan menghantar barang-barang keperluan untuk dijahit di rumah masing-masing.

"Mereka bekerja dari rumah, ini secara tidak langsung memberi kemudahan bersama keluarga dan meningkatkan pendapatan," katanya yang berkecimpung dalam perniagaan itu sejak 2013.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ziarah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah kepada Calon Anugerah Belia Negara Kategori Khas Kerajaan Negeri Terengganu di Kampung Che Lijah, kelmarin.

Dalam program tersebut Wan Sukairi turut menyampaikan sijil penyertaan kepadanya yang disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun dan Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang.

Bermula 2016, Calon Kategori Usahawan Belia itu mengorak langkah membesarkan lagi perniagaan pakaian pengantin yang diceburinya dengan menyediakan perkhidmatan pakej lengkap perkahwinan yang secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang berada di kampung tersebut. 

"Sebagai 'wedding planner' saya bersama-sama isteri, Habesah Abdul Malik, 28, menyediakan katering, juru gambar dan set pelamin, orang kata lengkap untuk mengadakan satu majlis perkahwinan," ujar bapa kepada dua orang anak. 

Menurut Nasir, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang menyebabkan perniagaannya agak merosot tetapi dia masih mampu menerima tempahan secara atas talian.

"Alhamdulillah perniagaan atas talian mendapat sambutan dan insya-Allah dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa ketiga akan menrancakkan kembali perniagaan ini," katanya yang mendapat latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua. 


Tag: