KUALA TERENGGANU, 9 September – Penamatan Program Subsidi Beras Putih Tempatan (BPT) pada 31 Ogos lalu kembali mencetuskan masalah bekalan di pasaran apabila pengedar dan pembekal tidak lagi mampu mengekalkan harga runcit RM2.60 sekilogram tanpa sokongan kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr Azman Ibrahim berkata, keadaan itu menyebabkan penghantaran beras terhenti dan BPT mula menghilang semula dari pasaran.
“Bukan kerana beras tempatan tidak laku, tetapi kerana mekanisme subsidi yang berakhir pada 31 Ogos lalu membuatkan pembekal kembali berada dalam dilema dan ketidakpastian,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.
Beliau menjelaskan, program subsidi berjumlah RM150 juta yang diumumkan kerajaan pada Februari lalu dilaksanakan bagi menstabilkan harga BPT pada RM2.60 sekilogram selama enam bulan.
“Program ini menyasarkan pengeluaran 24 juta kampit beras, dengan kerajaan membayar RM6.25 bagi setiap kampit.
“Manfaat langsung hanya diperoleh oleh pengilang, pembungkus dan pengedar BPT, manakala petani serta pesawah tidak menerima apa-apa faedah.
“Sepanjang enam bulan, pengguna mendapat manfaat apabila BPT kembali mudah didapati di pasaran,” jelasnya.
Dr. Azman menegaskan, pendekatan subsidi bersifat sementara tidak mampu menjadi penyelesaian konkrit kepada isu beras negara.