• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Penangan ‘Ketupat Palas’ Kini Tembusi Pasaran Antarabangsa


Norhasimah Abd Ghani


KUALA NERUS, 12 Februari - Pernahkah anda mencuba ‘Ketupat Hulwah’ iaitu ketupat palas hasil air tangan Norhasimah Abd Ghani, 35, yang telah berkelana sehingga Arab Saudi?

Sama ada dimakan begitu sahaja atau digoreng terlebih dahulu, ramai menggemari juadah ini kerana rasa enak pulut yang dikukus dengan santan dan dibalut dengan daun palas yang kini semakin sukar didapati.

Bagi pengusaha ketupat palas yang berasal dari Kuala Ibai, Norhasimah berkata segalanya bermula di gerai kecil di bahu jalan apabila terpaksa memikul tanggungjawab dan menjana pendapatan keluarga sejak suaminya Mohd Faizu Enet Ghani, 36 ditimpa kemalangan pada 2013.
Bercerita tentang perjalanan hidupnya, pengalaman apabila suami tercinta terpaksa menganggur selama hampir empat bulan sehingga wang simpanan habis dibelanjakan adalah saat paling getir sebelum dia diperkenalkan dengan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE 2.0) pada 2015.

"Alhamdulillah, setelah diperkenalkan dengan TUBE 2.0, bermulalah sinar baharu dalam mata pencarian saya walaupun pada mulanya usaha untuk memasarkan produk berasaskan ketupat ini amat sukar.

"Sejak diluluskan geran sebanyak RM15,000 di bawah program TUBE oleh SME Corp Malaysia, saya mula mengorak langkah dan tidak berpaling lagi untuk terus berjaya," katanya.

Dia yang juga penerima Anugerah Usahawan Gemilang empower ECER bagi tahun 2019 kini berbangga apabila makanan tradisional diusahakannya itu berjaya menembusi pasaran antarabangsa malah pernah dijual lebih enam bulan di sebuah kafe dimiliki rakannya di Perth, Australia dan terbaharu ia telah menembusi pasaran di Arab Saudi.

Norhasimah Abd Ghani menerima Anugerah Usahawan Gemilang empower ECER bagi tahun 2019 yang disampaikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang berlangsung di Dewan Almuktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin( UniSZA) baru-baru ini.

Ibu kepada tiga cahayamata ini,mengakui pelbagai kesukaran dan kepayahan ditempuh dalam mengusahakan perniagaan berasaskan makanan tradisional, dan untuk berjaya bukannya perkara mudah jika dia dan suaminya berputus asa,

Perbualan daripada mulut ke mulut mengenai ketupat palas berkenaan menyebabkan ia semakin dikenali. Permintaan juga semakin bertambah membuatkannya semakin yakin untuk meneruskan perniagaan itu.

Norhasimah berkata dia turut mendapat bantuan SME Corps dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) serta Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk mendapatkan fakta nutrisi dan kod bar, selain menyediakan peruntukan pembungkusan kepada perusahaannya.

Berkat kesabaran dan tidak putus asa pasangan suami isteri ini, kini pendapatan diperoleh hasil jualan ketupat palas pelbagai inti meningkat dari RM800 kepada RM21,000 sebulan dengan bantuan empat pekerja.

Menurutnya, buat masa ini, terdapat 12 variasi ketupat palas sejuk beku dan antaranya pulut lemak, pulut jagung, pulut hitam, kacang, rendang ayam, sambal ikan yang mampu bertahan selama setahun dan yang terbaru dalam perancangan ialah pulut kuning serunding daging dan juga cheese.

“Jika mula berniaga dahulu saya cuma mampu menghasilkan 500 hingga 1,000 biji sehari tetapi kini, saya mampu mengeluarkan antara 30,000 hingga 40,000 biji ketupat pelbagai perisa dengan harga RM0.40 hingga RM0.90 sebiji.

"Melalui tempahan secara atas talian termasuk di laman sosial Facebook, kami menerima tempahan sebanyak 3,000 hingga 5000 biji sebulan bagi jualan secara langsung.

“Selain aktif memasarkan secara atas talian, kami juga memasarkan produk tradisional di gerai yang beroperasi di Wakaf Beruas, Pasar Tani Gong Badak, Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan di karnival anjuran agensi kerajaan,” ujarnya lagi.

Katanya, selain menjual secara terus kepada pembeli, beliau turut melantik beberapa ejen di negeri yang mempunyai potensi pasaran luas seperti Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Bahru untuk mengedarkan produk keluarannya dalam bentuk sejuk beku.



Tag: