• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Pencahayaan Ditambah Baik, Perkukuh Imej Bandaraya Warisan Pesisir Air

Ahmad Razif  (tengah) tertarik dengan kreativiti seni kraf oleh seorang pengusaha kurang upaya ketika meninjau sekitar pameran Duyong Art Festival 2017sejurus melancarkan program itu di Pulau Duyong, Kuala Nerus, hari ini. Foto oleh Zulkipli CW Putra

Kerajaan negeri menyarankan mana-mana syarikat korporat dan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) supaya menaja untuk pembangunan landskap hiasan dan pencahayaan bagi memperkukuhkan imej pusat Bandar Raya Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air, terutama pada waktu malam.

Kawasan yang diberi tumpuan melibatkan sekitar Shahbandar, Bazar Warisan, Pasar Payang dan Kampung Cina serta Waterfront di Pulau Kambing, Pulau Duyong sehingga ke muara utara sungai Terengganu di Seberang Takir.


Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata,  inisiatif itu bukan sahaja dapat mengindahkan pemandangan dan menarik tumpuan pengunjung, malah dapat mempromosikan syarikat berkenaan menerusi paparan nama syarikat pada imej dan landskap pencahayaan itu.

" Kita akan menggunakan konsep NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) dan akan berbincang dengan mana-mana syarikat termasuk hotel supaya membantu kerajaan dan mungkin kita akan beri insentif seperti memotong cukai pintu.

" Mungkin kita juga boleh mendapatkan komitmen daripada syarikat swasta atau pemain pelancongan bagi menyumbang sekali gus dapat mengurangkn bebanan kerajaan negeri ,"katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas melancarkan Duyong Art Festival (DAF) 2017, di Pulau Duyong, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Halina Zakaria, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.


Menurut Ahmad Razif lagi, kerajaan negeri juga sudah mendapat persetujuan daripada Tenaga Nasional Berhad untuk mengurangkan caj sehingga 50 peratus terhadap penggunaan elektrik di papan dan landskap pencahayaan seluruh pusat bandar.

Tambahnya, kerja-kerja penambahbaikan kemudahan khususnya landskap dan pencahayaan di Taman Tamadun Islam dan Pulau Warisan juga sedang giat dilaksanakan dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung dan menjayakan kempen Visit Beautiful Terengganu 2017.

Beliau sebelum itu memuji usaha penganjur DAF 2017 yang berjaya meneruskan kesinambungan program bagi memperkasakan kesenian dan kebudayaan negeri buat tahun ketiga di lokasi yang sama.


"Program ini akan dijadikan sebagai aktiviti dan acara dalam kalendar pelancongan negeri kerana dapat menarik penyertaan ramai pengunjung serta membantu menaikkan ekonomi masyarakat tempatan,"katanya.



Tag: