• 25 Okt 2021 | 18 Rabiul Awal 1443

Pencemaran Sungai Di Terengganu Terkawal

KEMAMAN, 27 Mac- Pencemaran sungai di Terengganu tidak begitu serius jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keadaan seluruh sungai di negeri ini masih berada dalam keadaan terkawal.

"Kerjasama antara kerajaan negeri dengan agensi persekutuan di bawah Jabatan Alam Sekitar sentiasa terjalin.

"Kami dari semasa ke semasa berunding dan berbincang bagi mencari kaedah terbaik bagi memastikan tiada pencemaran air yang berlaku ke atas sungai di negeri ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas isu pencemaran sungai selepas menyempurnakan  Majlis Perasmian Program Gotong-Royong Bersempena Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Sungai Sekilir, Kemasik, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak dan Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam,  Utiliti Dan Teknologi Hijau Negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili.

Katanya, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air (KASA) dan agensi-agensi dibawahnya telah menganjurkan Program Gotong Royong Perdana yang melibatkan sungai-sungai di seluruh negara pada hari ini. 

"Bagi Negeri Terengganu, selain Sungai Sekilir (Kemaman) program gotong- royong ini juga berlangsung serentak di enam lagi lokasi di seluruh Terengganu iaitu di Sungai Mercang (Marang), Sungai Tenang (Besut), Sungai Tersat (Hulu Terengganu).

"Juga melibatkan Sungai Hiliran (Kuala Terengganu), Sungai Dungun (Dungun) dan Sungai Setiu (Setiu), " ujarnya 

Menurut beliau, program gotong-royong ini secara khususnya bertujuan memupuk semangat tanggungjawab bersama di antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan persekitaran yang lestari khususnya di kawasan badan air.

Tambah beliau, sambutan Hari Air Sedunia disambut pada 22 Mac setiap tahun dan merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1993. 

"Ianya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan membaharui tekad semua lapisan rakyat di dunia untuk menangani isu berkaitan air melalui pelan strategik dan pelaksanaan tindakan oleh setiap negara di seluruh dunia. 

"Sambutan Hari Air Sedunia ini adalah bertujuan untuk memenuhi sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals), yang dilancarkan pada 2015 oleh PBB, iaitu bagi memastikan setiap individu mempunyai akses kepada air bersih pada tahun 2030, menjadikan air sebagai isu utama dalam usaha untuk membasmi kemiskinan tegar," jelasnya.