• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pencen Rakyat : Giliran Warga Jabi Terima Manfaat

BESUT, 20 Februari – Seramai 766 warga emas Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima Pencen Rakyat di Dewan Sivik Jabi dalam Majlis Agihan Baucer Pencen Rakyat DUN Jabi, Khamis lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, buat permulaan RM300 ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi setiap penerima itu diagih secara tunai.  

“DUN Jabi antara yang terakhir kita sempurnakan agihan pencen rakyat, satu daripada janji yang ditunaikan.

“Bagi agihan hari ini, kita adakan dua sesi iaitu sesi pagi dan petang bagi mengelakkan kesesakan,” ujarnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi menyatakan bahawa kejayaan pelaksanaan manifesto PAS adalah kerana ia bersifat realistik dan disusuli komitmen jitu kerajaan. 

“Perkara penting yang kita ingin tegaskan adalah manifesto pilihan raya PAS tidak meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat. 

“Penerima hari ini melibatkan semua pemohon, bagi yang tercicir kita akan proses semula pada fasa seterusnya, ini komitmen kerajaan,” tambah beliau ketika ditanya pemberita. 

Agihan Pencen Rakyat ini menjadikan sebanyak 18 daripada 20 manifesto telah ditunaikan untuk rakyat Terengganu melibatkan 19,230 penerima.

Faedah pencen rakyat itu diterima penduduk berumur lebih 60 tahun yang sudah bersara dan tidak menerima sebarang bantuan daripada Kerajaan Negeri atau Persekutuan.

Terdahulu, peruntukan sebanyak RM13 juta diluluskan bagi Program Pencen Rakyat dalam Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 (Bajet).


Tag: