• 23 Okt 2021 | 16 Rabiul Awal 1443

Pendapatan Suku Keempat TDM Melonjak 14 Peratus

KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Pendapatan Suku Keempat 2020 TDM Berhad melonjak sebanyak 14 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu kepada RM129.7 juta daripada RM114.1 juta.

TDM dalam satu kenyataan berkata, bagi tahun berakhir 31 Disember 2020, TDM mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM9.1 juta berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“TDM juga merekodkan pendapatan sebanyak RM442.9 juta bagi tempoh 12 bulan, peningkatan sebanyak 4 peratus berbanding RM425.1 juta pada tempoh yang sama di tahun sebelumnya,” jelas TDM.

Sementara itu, hasil perniagaan yang baik bahagian perladangan serta dorongan purata harga CPO dan PK turut menjadi penyumbang peningkatan terbabit.

“Perniagaan bahagian perladangan TDM di Malaysia telah mencatatkan EBITDA sebanyak RM19.5 juta pada suku tersebut, berbanding RM7.8 juta pada suku yang sama tahun lalu.

“Sementara itu, bagi FY2020, perniagaan bahagian perladangan merekodkan pendapatan sebelum cukai sebanyak RM23.3 juta, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM24.5 juta pada tahun sebelumnya. 

“Pencapaian ini didorong oleh harga CPO dan PK yang lebih tinggi, masing-masing pada kadar 33 dan 29 peratus. Bahagian perladangan mencatat EBITDA sebanyak RM87.4 juta, berbanding RM39.4 juta pada tempoh sama tahun lalu. 

Jelas Pengerusi TDM, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin, pengambilalihan TDM-YT Plantation Sdn Bhd (TDM-YT), telah menyumbang kepada peningkatan jumlah penjualan CPO dan PK pada suku tersebut.

“Pihak pengurusan telah mengenal pasti Pelan Penciptaan Nilai untuk TDMYT dan kini melaksanakan rancangan untuk meningkatkan prestasi ladang tersebut. Pengambilalihan ini telah memberi sumbangan positif terhadap prestasi TDM,” katanya

Sementara itu, meskipun masih berdepan pandemik COVID-19, pemulihan di bahagian penjagaan kesihatan telah membantu meningkatkan pendapatan sebanyak 14 peratus berbanding suku sebelumnya. 

Ini adalah disebabkan peningkatan bilangan pesakit luar dan pesakit dalam, masing-masing pada kadar 11 dan 19 peratus lebih tinggi.

“Pihak syarikat akan terus mempelbagaikan tawaran produk dan perkhidmatan dalam menghadapi cabaran ekonomi dan perniagaan berikutan pendemik COVID-19. 

“Kami telah merumuskan beberapa strategi bagi mengatasi cabaran melalui pelan kesinambungan perniagaan dan pemulihan perniagaan. Secara keseluruhannya, TDM tetap optimis untuk mencapai prestasi operasi yang memuaskan pada tahun kewangan semasa,” kata Raja Idris.
 


Tag: