• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Pendaratan Ikan Terengganu Meningkat

KUALA NERUS, 2 Februari - Pendaratan ikan di Terengganu mencatatkan 46,643.45 tan metrik sepanjang tahun 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata hasil pendaratan tersebut mempunyai nilailai keseluruhan berjumlah RM237.8 Juta.

Katanya, ia mengalami peningkatan sebanyak 13,143 tan metrik berbanding pada tahun 2022 iaitu sebanyak 33,500.25 tan metrik.

“Sebahagian besar peningkatan hasil tangkapan tersebut disumbangkan oleh nelayan pantai zon A.

“Ini membuktikan bahawa program memperkayakan sumber perikanan dalam bentuk melabuhkan unjam dan tukun membuahkan hasil," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Amanat 2024 bertempat di Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Kuala Nerus di sini semalam.

Tambah Dr Azman, selain itu dibuktikan juga dengan peningkatan pendapatan nelayan pantai, namun beberapa cabaran perlu dilalui oleh mereka berkait dengan pencerobohan.

"Kerajaan negeri Terengganu juga mengucapkan tahniah kepada Jabatan Perikanan kerana baru-baru ini telah berjaya menahan tiga buah bot pukat tunda yang menceroboh zon tangkapan nelayan Terengganu.

"Bot yang ditahan melanggar Akta Perikanan 1985; apabila melakukan tangkapan menggunakan pukat tunda pada jarak enam batu nautika dari pantai," ujarnya.

Terdahulu, beliau berkata, terdapat dua kesalahan yang dilakukan bot yang ditahan. Pertama, Akta Perikanan 1985 menetapkan bahawa 12 batu nautika adalah zon tangkapan negeri tersebut dan dalam kes ini ia adalah kawasan eksklusif nelayan Terengganu sahaja.

Beliau menambah, kesalahan kedua membabitkan aktiviti pukat tunda yang hanya dibenarkan pada 12 batu nautika ke atas.

Jelasnya lagi katanya, kesemua bot merupakan pemilikan tempatan namun dioperasikan kru asing daripada Myanmar seramai 15 orang berusia antara 21 hingga 50 tahun.

 

 


Tag: