• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Penderitaan Adik Adam Dapat Perhatian ADUN

HULU TERENGGANU, 25 Februari - Penderitaan adik Adam yang menghidap penyakit saraf, lumpuh serta otak di luar tempurung mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Manir Ustaz Hilmi Dato’ Harun.

Adam atau Sayyid Uwais Al-Qarni Lekman yang kini berusia 42 hari disahkan mengalami penyakit saraf, 'myelomeningocele with encephalocoele' akan dirujuk di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, pada bulan hadapan.

Hilmi yang juga Timbalan Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Komuditi dan Pembangunan Luar Bandar berkata, pihaknya akan segera memohon bagi mendapatkan bantuan agensi kerajaan bagi rawatan susulan anak istimewa itu.

“kerajaan negeri ada menyediakan peruntukan menerusi Tabung Darul Iman untuk membantu pesakit kronik dan mangsa bencana yang benar-benar memerlukan pembelaan.

“Kes ini akan turut segera dipanjangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi adik Adam dan keluarga di kediaman datuk dan neneknya di Kampung Batu Hampar, Manir di sini, semalam.

Terdahulu, Timbalan Penyelia Institut Modal Insan I-MiTS Manir, Norhayati Mohd dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu Hampar hadir bagi menyampaikan sumbangan kewangan bagi menampung kos pembedahan awal tulang belakang adik Adam.

Dalam pada itu, Norhayati berkata,  Pusat Khidmat Masyarakat (PKM)  Manir menampung kos pembedahan awalnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) disamping ditanggung sebahagian besar oleh subsidi kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, ibu Sayyid Uwais Al-Qarni, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 29, berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada ADUN dan bersyukur kerana banyak pihak tampil membantu.

"Saya bersyukur kerana penderitaan dialami bayi saya mendapat perhatian. Saya harap ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung memandangkan suami saya hanya bekerja kampung dan pendapatan tidak menentu," katanya.