SETIU, 27 Julai– Ribut kencang yang melanda beberapa buah kampung di kawasan DUN Jabi semalam telah menyebabkan kerosakan pada struktur rumah penduduk akibat ditimpa pokok tumbang.
Kejadian yang berlaku di Kampung Bukit Tanah itu bagaimanapun tidak berpanjangan apabila tindakan pantas dan semangat gotong-royong warga tempatan berjaya meredakan krisis berkenaan seawal pagi ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, kerosakan pada rumah-rumah yang terjejas telah selesai dibaiki secara bersama menerusi kerjasama erat pelbagai pihak.
"Alhamdulillah, pagi ini dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), jiran-jiran serta tuan rumah sendiri, semuanya telah selesai diperbaiki.
"Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat," katanya.
Semangat kejiranan dan sikap prihatin masyarakat setempat bersama kepimpinan kampung dipuji kerana berjaya meringankan beban mangsa yang terjejas tanpa perlu menunggu masa yang lama.
Setakat ini, tiada sebarang kecederaan fizikal dilaporkan berikutan insiden berkenaan.