• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Penduduk Dinasihat Guna Jalan Alternatif

DUNGUN, 28 November - Penduduk di Hulu Dungun yang terputus hubungan susulan jalan utama di Kilometer 10, Jalan Tepus-Pasir Raja mendap dan rosak dinasihat supaya menggunakan laluan alternatif sehingga proses pembaikan selesai sepenuhnya.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Minda, Wan Zawawi Wan Ahmad berkata, kerosakan kali ini lebih serius berlaku berbanding dahulu dan penduduk tidak perlu merisikokan nyawa masing-masing kerana notis jalan ditutup telah dikeluarkan.

"Jadi penduduk mereka boleh menggunakan dua jalan alternatif bagi menyelesaikan urusan mereka walaupun agak jauh, boleh menggunakan laluan sama ada melalui Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) ataupun melalui Kampung (kg) Besol Lama yang akan memakan masa selama 30 minit atau 40 minit.

"Pada masa ini, kawalan keselamatan telah dilakukan dengan meletakkan kon dan mohon kerjasama semua pihak  kerana ia akan menyukarkan pihak berkuasa memberikan bantuan sekiranya berlaku kecemasan," katanya ketika dihubungi pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPD), di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, sejak banjir besar 2014 jalan berkenaan sering kali berlaku mendapan dan proses pembaikan dilakukan dengan menampal jalan, kali terakhir ia dibuat pada akhir Ogos baru-baru ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Nodin Saman berkata akibat kejadian berkenaan kesulitan turut dialami para guru, pelajar serta ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah.

"Lima buah sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Jengai, SK Jongok Batu, SK Syukur, SK Pasir Raja dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengai.

"Kalau hendak ke sekolah terpaksa menggunakan jalan yang agak jauh iaitu Jalan Bukit Besi-Besol Lama dan Ke Kampung Rantau Panjang dengan jarak sejauh 30 Kilometer membabitkan masa sekitar 40 minit, diharapkan perkara ini mendapat perhatian segera pihak berkuasa," ujarnya. Foto - Astro Awani.