• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Penduduk Rhu 10 Lega Bakal Terima Klinik Baharu

Oleh : Faris Ameir Ibrahim

SETIU, 27 April – Pembinaan klinik kesihatan baharu di Kampung Rhu 10 di sini membabitkan peruntukan RM26 juta nyata melegakan penduduk terutamanya yang menetap di kawasan pantai.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, projek tersebut dapat memanfaatkan sebahagian besar penduduk yang sebelum ini terpaksa menempuh perjalanan lebih 30 minit bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan Permaisuri dan Batu Rakit.

Katanya, alhamdulilah hasil usaha semua pihak projek itu telah diluluskan dalam pembentangan Sidang Bajet 2020 selepas dibangkitkan dalam ucapan perbahasan dan soalan lisan sebelum ini.

“Pada 22 Oktober 2018, saya telah kemukakan dalam parlimen melalui pertanyaan lisan kepada menteri yang terlibat tentang pembinaan klinik ini.

"Pada asalnya, pelan ini dicadangkan di dalam ‘Rolling Plan’ 1 (RP1) dan ‘Rolling Plan’ 2 (RP2) dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) tetapi tidak diluluskan dan dicadangkan disenarai dalam Rancangan RMK12. 

"Alhamdullilah, akhirnya kelulusan diperawalkan dalam RP4 RMK11. Turut diajukan ketika itu, permohonan berkaitan bina baru Klinik Kesihatan Jabi yang uzur dan tidak lagi mampu menampung kepadatan penduduk sekitar," katanya kepada UPDI.

 Katanya, Klinik Rhu Sepuluh ini merupakan klinik kesihatan jenis empat, ia akan dibina di atas tanah seluas lapan ekar dan dijangka siap pada Februari 2023.

“Sekarang pembinaan klinik ini dalam proses pembersihan tapak oleh pihak pemaju," jelas beliau.

Selain itu, pembinaan Klinik Kesihatan Batu Rakit juga telah diluluskan dalam RP4 RMK11 dengan kos RM23 juta dan sekarang dalam proses pembersihan tapak manakala bagi Klinik Kesihatan Batu Rakit pula, pembinaan akan dilakukan diatas tapak yang sedia ada.

“Semua kuarters lama akan dirobohkan dan akan dibina di bahagian belakang dahulu, sebelum dirobohkan klinik sedia ada selepas dibina klinik baharu di bahagian belakang. Tapak klinik yang sedia ada pada masa kini akan dijadikan ruang untuk tempat letak kenderaan,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, dalam Sidang Belanjawan 2021 pada penghujung tahun 2020, beliau telah membangkitkan isu pembinaan Pejabat Kesihatan Daerah Setiu dan Klinik Kesihatan Permaisuri di samping turut menghantar surat permohonan rasmi kepada Menteri Kesihatan sewaktu melakukan kunjungan hormat di Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya.

“Permohonan yang diusulkan ini telah dijawab oleh Timbalan Menteri Kesihatan, dan kesemua cadangan ini akan disenaraikan dalam RMK12," ujarnya.

 


Tag: