• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Penduduk Sangka Air Sungai Pueh Tercemar Angkara Kilang Sawit

HULU TERENGGANU, 23 Ogos - Dakwaan penduduk di sekitar Sungai Pueh yang menyangka sungai tersebut tercemar akibat operasi Kilang Sawit Vila Sutera, Bukit Kapah mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak.

Dr Alias Razak.

Beliau turun sendiri ke kilang itu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu dan penguatkuasa bagi meninjau keadaan sebenar yang berlaku. Dakwaan itu turut mengaitkan pencemaran sungai mengakibatkan kematian ikan sangkar yang diternak oleh penduduk di sini.

Hasil tinjauan pihaknya mendapati tiada pencemaran air sungai yang berlaku seperti yang disangka. Daripada pemerhatian yang telah dilakukan serta dibantu dengan penerangan oleh pihak JAS dan pihak kilang, didapati air Sungai Pueh masih selamat untuk didiami hidupan.

"Hari ini kita melawat kilang sawit di Bukit Kapah kerana beberapa kali kita terima aduan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sini mengatakan air Sungai Pueh tercemar kerana operasi kilang dan disyaki air itu menyebabkan ikan dalam sangkar yang diternak mati.

"Bagaimanapun itu hanya sangkaan orang kampung, JAS yang mengambil perhatian isu ini telah beberapa kali turun dan mengambil sampel air sungai ini. Setelah mendapat taklimat, siasatan telah dibuat dan tinjauan ke lokasi mendapati air Sungai Pueh memenuhi kriteria JAS.

"Kita juga telah melakukan penilaian oksigen dan sebagainya, hasil pemeriksaan tersebut mendapati bahawa pelepasan efluen terolah ke dalam alur air (Sungai Pueh) adalah mematuhi had piawai yang telah ditetapkan oleh pihak JAS sekalipun warna air yang dilepaskan daripada takat pelepasan akhir sistem pengolahan efluen berwarna agak gelap. 

"Dapat disimpulkan bahawa dengan cuaca panas dan kering pada masa sekarang menyebabkan air sungai menjadi cetek dan warna air sungai kesan dari pelepasan efluen terolah kilang sawit berkenaan adalah tampak ketara gelapnya.

"Justeru bagi pihak kerajaan negeri, saya ucapkan terima kasih kepada pihak pengadu dan pihak JAS Terengganu atas tindakan pantas yang diambil," jelasnya kepada pemberita selepas tinjauannya ke lokasi di sini baru-baru ini.

Untuk rekod, sebanyak tiga kali pemeriksaan telah dijalankan oleh pihak JAS ke atas premis tersebut pada tahun ini dan dua daripadanya merupakan pemeriksaan secara mengejut. 

Turut serta dalam lawatan itu, Timbalan Pengerusinya, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah JAS Negeri Terengganu, Ramli Abd Rahman.