Penduduk Sifatkan Banjir Paling Buruk Selepas 36 Tahun

HULU TERENGGANU, 21 Disember - Banjir yang melanda daerah ini susulan hujan lebat yang berterusan sejak Sabtu lepas, disifatkan penduduk antara yang terburuk sejak 36 tahun lalu, apabila paras air naik secara mendadak.

Penduduk Kampung Padang Setar Ulu Sat, Latifah Jusoh, 61, berkata kali terakhir 'banjir besar' berlaku di kampung berkenaan pada 1986 namun hanya beberapa rumah sahaja terjejas terutamanya di kawasan yang rendah.

"Kampung kami dah biasa banjir setiap tahun tetapi setakat 0.5 meter hingga satu meter sahaja... 2014 pun sama dan masa awal tahun baru-baru ini sahaja hampir satu meter.

"Namun, kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk sejak 36 tahun lalu kerana arus air agak deras sehingga rumah saya dinaiki air hampir paras bumbung," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

Berkongsi cerita, ketika kejadian, dia sedang berada di dalam rumahnya untuk menyimpan apa yang perlu ke bahagian lebih tinggi.

"Masa tengah kemas barang tu, air dah paras pinggang tetapi tak sampai 15 minit air dah cecah paras bahu saya.

"Oleh kerana keadaan makin merbahaya, saya terus mengharungi air dalam keadaan berdebar untuk menyelamatkan diri," katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Saifuddin Wahab, 44, dari Kampung Tengkawang berkata dia tidak pernah menjangkakan kejadian banjir kali ini teruk dari kebiasaan tahun-tahun sebelumnya.

"Memang dah biasa hadapi banjir tapi kali saya tak tahu nak kata apa sebab memang teruk...lebih teruk dari 2014 apabila rumah ibu dinaiki air sehingga dua meter.

"Paras air tinggi di luar jangkaan menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian besar akibat kemusnahan harta benda serta barang perniagaan yang tidak sempat diselamatkan," ujarnya.