• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tuntutan 'Palsu' : Pusat Khidmat Masyarakat Lapor Polis

KUALA TERENGGANU, 2 Disember - Laporan polis telah dibuat oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi susulan kekeliruan satu dokumen tuntutan perbelanjaan 2019 dalam semakan Audit Negara.

Ahli DUN Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, laporan tersebut dibuat pada September 2021 sebaik sahaja pihak audit negara memaklumkan perkara terbabit kepada PKM.

Katanya, langkah itu diambil agar pihak berkuasa dapat melakukan siasatan dengan lebih terperinci dan tindakan lanjut boleh dibuat.

”Pihak kami sedia maklum dan telah mengambil beberapa tindakan awal sebaik sahaja dimaklumkan tentang penemuan audit dalam Laporan Ketua Audit Negara berkaitan PKM DUN Jabi Tahun 2019. 

“Pegawai yang terlibat menguruskan dokumen tuntutan perbelanjaan tersebut telah meletakkan jawatan (sementara siasatan dilakukan). Tiada kompromi dalam soal integriti. 

”Urusan seterusnya kita serahkan kepada pihak berkuasa. Kita terbuka dan tiada siapa yang terkecuali daripada tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, sementara siasatan dilakukan lebihan tuntutan berjumlah RM11,900 telah dibuat bayaran balik. 

“Tuntutan perbelanjaan PKM DUN Jabi tersebut telah dibayar oleh Pejabat Daerah Besut ke dalam akaun PKM DUN Jabi dan tidak melibatkan mana-mana akaun individu. Fakta ini kami serahkan untuk siasatan pihak Polis,” jelasnya.

Dr Azman turut menghargai laporan Jabatan Audit Negara yang menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan bagi mewujudkan pentadbiran telus dan berintegriti.

Dalam pada itu, berkait laporan tuntutan RM19,000 daripada PKM DUN Alur Limbat dalam Audit Negara, Pegawai Khas Ahli DUN Alur Limbat, Mohd Faisal Mizan Ambak berkata, PKM tersebut telah menyelesaikannya dengan membuat bayaran balik dengan nilai itu pada 22 April 2020.

“Percanggahan ini berlaku disebabkan kelewatan pemilik kedai pakaian dalam menyiapkan tempahan tersebut pada tahun 2019 sehingga kerja audit dijalankan ketika itu.

"Tuntutan semula pada tahun 2020 telah dibuat setelah proses membuat baju siap sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, laporan Ketua Audit Negara memaklumkan PKM DUN Alur Limbat membuat tuntutan palsu kepada Pejabat Daerah Kuala Terengganu sedangkan bekalan tidak diterima dan bayaran belum dibuat kepada pembekal.
 


Tag: