• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Penemuan Penyu Belimbing, Kejayaan Program Konservasi Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Penemuan seekor penyu belimbing di perairan Pulau Redang tiga hari lalu, adalah satu petunjuk positif terhadap kejayaan program konservasi yang telah dilakukan di Terengganu selama ini.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Mohd Uzair Rusli berkata, penyu belimbing itu ditemui seorang nelayan yang sedang memancing di Pulau Lima berhampiran Pulau Redang.

“Nelayan itu, Raja Aizat Raja Abdullah memaklumkan kepada saya, penyu belimbing tersebut timbul sekejap di permukaan air untuk bernafas, namun jantinanya tidak dapat dikenal pasti kerana ia agak liar untuk didekati.

“Disebabkan terkejut dan sangat teruja, beliau tidak sempat merakam sebarang gambar atau video, namun berdasarkan maklumannya mengenai saiz penyu yang terlalu besar dengan keadaan cangkerang penyu berwarna hitam dan berbelang, memang itu adalah penyu belimbing,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Untuk rekod, pendaratan penyu belimbing tidak pernah dilaporkan di Pulau Redang setakat ini, dan kali terakhir ia dikesan mendarat di Terengganu ialah pada tahun 2017 iaitu di Rantau Abang, Dungun.

Bagaimanapun katanya, dua sarang penyu belimbing yang ditemui ketika itu gagal untuk menetas, kerana pemeriksaan lanjut penyelidik tidak menemui sebarang benih jantan, yang menghalang proses persenyawaan untuk perkembangan embrio. 

Dapatan itu juga memberi petunjuk bilangan penyu belimbing jantan amat kritikal.

Mengulas lanjut beliau berkata, penyu belimbing itu dipercayai datang ke perairan Terengganu kerana mahu mendarat di pantai Rantau Abang untuk bertelur, kerana sekarang ini memang musimnya.

Namun, beliau berharap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan nelayan asing secara serius, kerana bimbang ancaman aktiviti perikanan yang tidak mematuhi peraturan, akan menyebabkan penyu belimbing itu terkorban.

“Oleh kerana penyu ini sudah masuk ke perairan negara, ia akan berada di sini antara dua hingga tiga bulan untuk bertelur, sebelum patah balik untuk bermigrasi, jadi pemantauan sangat penting pada 'tempoh kritikal' ini.

“Begitu juga dengan kawalan di sepanjang tujuh kilometer kawasan pantai Rantau Abang, jangan ada sebarang gangguan yang boleh merencatkan pendaratan penyu ini,” katanya. - BERNAMA.


Tag: