Berita :
Penentuan Aidilfitri: Cerapan Anak Bulan Syawal 19 Mac
Penentuan Aidilfitri: Cerapan Anak Bulan Syawal 19 Mac
Mastura Jamal Din
17 jam yang lepas
111

PUTRAJAYA, 9 Mac – Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menentukan permulaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini ditetapkan pada petang Khamis, 19 Mac di 29 lokasi di seluruh negara.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan memaklumkan, tarikh Hari Raya Puasa akan diisytiharkan pada malam tersebut melalui siaran radio dan televisyen.

Menurut kenyataan itu, pengumuman berkenaan dibuat bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selepas diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Syawal ialah pada petang Khamis, 19 Mac 2026 Masihi bersamaan 29 Ramadan 1447 Hijrah,” menurut kenyataan itu hari ini.

Majlis Raja-Raja turut mempersetujui bahawa kaedah penetapan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Antara lokasi cerapan yang ditetapkan ialah di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Melaka; Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan; serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Di Perak, cerapan dijalankan di Balai Hilal Pantai Pasir Panjang, Manjong manakala di Pulau Pinang di Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh.

Sementara itu di Kedah, lokasi cerapan ialah di Stesen Cerapan Hilal Kampung Pulau Sayak dan Menara Alor Setar.

Bagi negeri Terengganu, cerapan dilakukan di Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut serta Balai Cerap KUSZA, Setiu.

Di Kelantan pula lokasi yang dikenal pasti ialah Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai serta Menara Bangunan SEDC di Kota Bharu.

Selain itu, cerapan turut dilakukan di beberapa lokasi lain termasuk Pusat Falak Miri, Teluk Bandung di Kuching dan Bintulu di Sarawak serta Balai Cerap Al-Biruni, Putatan di Sabah.

Di Pahang, lokasi yang ditetapkan ialah Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Menara 188 di Kuantan.

Empat lagi lokasi ialah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya serta Menara Pandang Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis, Perlis.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan