• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Penerbangan Terus JB - Terengganu Bermula

Ahmad Razif menyambut penumpang yang menaiki penerbangan pertama dari Johor Bahru ke Kuala Terengganu sejurus mendarat di LTSM. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Anda dari Johor hendak ke Terengganu atau dari Terengganu hendak ke Johor dengan pantas?

Kini anda boleh menggunakan penerbangan Air Asia Berhad apabila tanggal 22 Jun 2017 penerbangan pertama antara kedua-dua negeri itu bermula.



Penerbangan yang memakan masa satu jam sepuluh minit itu bermula dari Lapangan Terbang Senai Johor Bahru jam 1.45 tengahari dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu kira-kira jam 2.50 petang tadi; para penumpang penerbangan sulung itu disambut Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Sebelum itu Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong mengiringi penumpang penerbangan sulung itu dari Lapangan Terbang Senai Johor ke LTSM Terengganu. Penulis dan beberapa rakan media dari Terengganu ikut serta.


Berucap di majlis sambutan ketibaan penerbangan pertama itu, Ahmad Razif menyatakan penerbangan itu selain untuk membantu lebih ramai pelancong ke Terengganu termasuk dari Singapura, ia juga memudahkan rakyat Terengganu di Johor atau Selatan Semenanjung untuk pulang ke kampung halaman di Terengganu.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Aireen Omar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan.


Jadual penerbangan yang telah diluluskan oleh Jabatan Penerbangan
Awam (DCA) adalah seperti berikut:

a. Hari Penerbangan : SELASA, KHAMIS, SABTU
b. Masa Berlepas dari Johor Bahru 1.45 petang
c. Masa Ketibaan di Kuala Terengganu 2.50 petang
d. Masa Berlepas dari Kuala Terengganu 3.15 petang
e. Masa Ketibaan di Johor Bahru 4.20 petang

Tag: