lightning-solid
Berita :
Penerima Kad Sejahtera Boleh Guna Baki RM200 Enam Bulan Pertama Pada Tempoh Kedua
Penerima Kad Sejahtera Boleh Guna Baki RM200 Enam Bulan Pertama Pada Tempoh Kedua
Khairul Faez Rosdi
2 jam yang lepas
98

KUALA TERENGGANU, 19 Januari – Pelaksanaan Program Kad Sejahtera Fasa 5 di Terengganu telah dimulakan semula bermula 1 Oktober 2025 selepas tertangguh sebelum ini berikutan kekangan kewangan.

Bagi fasa ini, Terengganu Advanced Joint Digital Intelligent Development (TAJDID) telah dilantik sebagai pengendali program dengan kerjasama strategik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), melibatkan penggunaan peruntukan MAIDAM khusus untuk penerima kad Sejahtera dalam kalangan golongan asnaf.

Perkara tersebut dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Portfolio Kesihatan Kali Pertama Tahun 2026, apabila Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) mengemukakan laporan dapatan pelaksanaan program bagi tempoh Oktober hingga Disember 2025.

WhatsApp Image 2026-01-19 at 15.38.43 (1).jpeg 629.63 KB
Menurut laporan berkenaan, daripada keseluruhan penerima Kad Sejahtera, seramai 2,101 orang atau 49.7 peratus masih belum menggunakan kemudahan tersebut, manakala 1,909 orang atau 45.2 peratus telah menggunakannya. Selebihnya, iaitu 214 orang atau 5.1 peratus, telah sepenuhnya menggunakan peruntukan yang disediakan.

Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM400 setahun bagi setiap penerima, yang dibahagikan kepada RM200 untuk tempoh enam bulan pertama dan RM200 bagi enam bulan berikutnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan bahawa penerima yang belum menggunakan atau masih mempunyai baki peruntukan RM200 bagi enam bulan pertama dibenarkan untuk menggunakan baki tersebut dalam tempoh enam bulan kedua.

Beliau turut mengingatkan agar setiap penerima memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan bagi memastikan inisiatif ini benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar.

“Kerajaan Negeri Terengganu melihat pelaksanaan Kad Sejahtera sebagai satu inisiatif penting bagi memastikan golongan asnaf dan mereka yang memerlukan terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan asas secara tersusun dan berterusan, sekali gus membantu meringankan beban kos rawatan yang ditanggung oleh rakyat,” katanya.

Bagi pelaksanaan Fasa 5, sebanyak 110 klinik telah berdaftar sebagai klinik panel Program Kad Sejahtera, melibatkan seramai 4,224 penerima. Sehingga Disember 2025, sejumlah RM210,525.60 telah dibelanjakan melalui peruntukan Kerajaan Negeri Terengganu dan MAIDAM bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program berkenaan.


Tag :

Artikel Berkaitan