• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Penerima Nafi Terima Bantuan Sebab 'Kabel', Kroni

KUANTAN, 22 Julai - Penerima dana i-Perantau menafikan mereka menggunakan 'kabel' atau kroni untuk memperolehi bantuan 'one-off' yang disalurkan kerajaan negeri kepada anak Terengganu yang berada di perantauan.

Salah seorang penerima, Adnan Ibrahim, 36, berkata, dia hanya mengisi borang secara atas talian dan mengikut syarat kelayakan ditetapkan.

"Prosesnya sangat mudah, setelah memenuhi syarat dan kriteria saya mengisi borang berkenaan secara atas talian.

"Tidak lama selepas itu saya dihubungi pihak berkenaan untuk menyerahkan segala dokumen berkaitan sebelum diminta hadir bagi menerima bantuan.

"Saya pasti pemberian ini telah diagihkan secara telus, saya tidak nampak di mana asas terhadap dakwaan 'kabel' atau kroni," ujarnya yang berasal dari Besut.

Dia berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas hadir menerima dana berkenaan, di Dewan Sri Dagangan, di sini semalam.

Bagi Arman Ardani Che Azahar, 28 pula, dia mengakui bahawa proses permohonan bantuan tersebut tidak serumit tohmahan pihak tertentu.

"Hanya mengisi borang permohonan sahaja bagi mendapatkan bantuan, saya tak ada 'kabel' sebaliknya mengikut segala prosedur.

"Saya rasa ini juga bukan umpan pilihan raya kerana selama ini pelbagai bantuan telah diberikan, bukan hanya menunggu menjelang pilihanraya maka baru dihulurkan bantuan.

"Dengan bantuan ini dapatkan membantu untuk saya membeli sedikit barang keperluan keluarga," ujarnya yang berasal dari Dungun.

Perkara yang sama turut dikongsikan Mohd Sufian Mohd Adnan, 30, ujarnya bantuan diberikan kerajaan itu diperolehinya setelah berjaya melengkapkan borang permohonan tanpa menggunakan orang tengah.

"Isi ikut secara atas talian. Alhamdulillah ada rezeki saya, Terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana dengan bantuan ini dapat menampung sedikit bebanan saya.

"Saya hanya berniaga secara kecil-kecilan setelah hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara selama dua tahun lepas.

"Tiada sebab kami menerima bantuan kerana kabel atau sebagainya," ujarnya yang berasal dari Kuala Berang.

 


Tag: