• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pengamal Perubatan Disaring Bendung Amalan Khurafat

KUCHING,1 Februari - Mantan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad berharap agar kerajaan negeri melalui jabatan berkenaan terus menyaring pengamal perubatan Islam bagi membendung amalan khurafat dan syirik.

Katanya, siasatan sebelum ini mendapati segelintir mereka yang mendakwa mengamalkan perubatan Islam turut melakukan perbuatan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar

"Sebagai contoh yang terkenal adalah melakukan rawatan secara batin menggunakan bantuan jin dan seumpamanya, ini boleh memesongkan akidah masyarakat Islam.

"Walaupun ia sukar dikesan terutama apabila telah mendapat tempat dalam kalangan anggota masyarakat namun usaha melalui penyelarasan jawatankuasa pemantau pengamal perubatan berkenaan diperkasakan bagi mengelakkan daripada ia terus berleluasa," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menghadiri Lawatan Penanda Aras Ke Jabatan Agama Islam Sarawak, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Timbalan Pengarah 1 JAIS, Ahmad Sukarno Saini, Ketua-ketua Bahagian JAIS serta Ahli Jawatankuasa Pemantau Perawatan Islam (Ilaj Syarie) Negeri Terengganu.

Mengulas lanjut, Mat Azmi Arshad berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian serius kerana ia boleh membawa kepada kes jenayah seperti cabul.

"Kerana itu  jawatankuasa ini akan dilaksanakan agar tiada lagi pengamal perubatan seperti ini dan senarai nama-nama mereka yang bertauliah dalam bidang ini akan dipamerkan untuk perhatian masyarakat," ujarnya. 

Bercakap mengenai lawatan kerja ke Sarawak, beliau berkata, ia bagi melihat tatacara pelaksanaan jawatankuasa perubatan secara Islam di negeri terbabit.

"Melalui jawatankuasa khusus ini mereka telah menilai serta memastikan pengamal perubatan Islam di negerinya mematuhi garis panduan bagi memastikan rakyat tidak tertipu.

"Pelaksanaannya turut melibatkan kerjasama antara pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), polis, Jabatan Imigresen, mereka telah berjaya membendung amalan salah ini kerana pemantauan secara bersepadu, ini yang kita ingin laksanakan di negeri kita.

"Jadi perkara ini adalah penting dan ia merupakan inovasi bagi JHEAT untuk menyelesaikan masalah masyarakat, saya harap ia akan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin serta kerajaan melalui jabatan ini akan sentiasa komited untuk sentiasa berusaha bagi memastikan kesejahteraan rakyat," katanya lagi.

 


Tag: