KUALA TERENGGANU, 26 November – Pengarah Urusan Muslim Food Industries (MFI), Ahmad Sayyaf Jamaludin dinobatkan Tokoh Usahawan Terengganu 2025 bersempena Majlis Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2025 di Hotel Permai, semalam.
Anugerah kepada usahawan paling berjaya di Terengganu itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman.
AUT bukan sekadar penghargaan, tetapi pengiktirafan terhadap peranan besar usahawan dalam memperkukuh ekonomi Terengganu serta menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri yang lebih mapan dan sejahtera.
Ahmad Sayyaf berkata, gelaran tersebut menjadi amanah kepada beliau untuk membuktikan industri makanan dan minuman (F&B) yang diusahakan terus berdaya tahan.
“Ini adalah penghargaan untuk industri makanan dan ini juga suatu tanggungjawab kepada kami untuk terus memberikan yang terbaik,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis tersebut.
Menurut Ahmad Sayyaf, pelbagai cabaran terpaksa dilalui sejak mengambil alih perniagaan keluarganya itu bermula tahun 2015 sebelum beliau mampu mengecap kejayaan seperti hari ini.
“Cabaran terbesar berkait dengan pelaburan tinggi dan dari segi keperluan logistik yang turut memainkan peranan menentukan kecekapan sesuatu bisnes makanan.
“Bagaimanapun saya tidak cepat berputus asa. Sebagai usahawan kita perlu sentiasa cekal dan berani berdepan dengan apa juga masalah mendatang.
“Alhamdulillah, setakat ini MFI ada 12 jenis produk temasuk mi kuning, kuey teow, laksa beras, bebola ikan, bihun, cili kisar, garam halus serta garam kasar yang mana produk berkenaan dipasarkan di semua rangkaian Mydin dan Giant seluruh semenanjung serta berpuluh lagi pasar raya kecil yang lain,” ujarnya.
Katanya, beliau optimis dengan perniagaan F&B yang dijalankan keluarganya dan bercita-cita membawa jenama syarikat ke peringkat antarabangsa dan menjadi penanda aras kepada industri makanan bumiputera di negara ini.
