• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pengeluaran Telur Berkurang 50 Peratus

KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menjelaskan bekalan telur bagi gred tertentu adalah terhad berikutan jumlah stok yang dibekalkan pengeluar kepada pemborong dan pihak pasar raya buat masa ini berkurangan kira-kira 50 peratus daripada kebiasaan.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, telur di negeri ini tidak kehabisan sepenuhnya sebagaimana dihebahkan pihak tertentu.

"Bekalan telur di Terengganu ini bukanlah habis langsung seperti didakwa. Bekalan telur ada tetapi gred-gred tertentu agak terhad.

"Ada pengguna menumpukan untuk membeli satu-satu gred telur dan telur papan sahaja namun telur yang dijual 10 biji untuk sepaket itu masih ada di kedai dan pasar raya," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Beliau mengulas laporan mengenai masalah bekalan telur ayam di Terengganu.

Saharuddin berkata kekurangan stok telur bagi gred tertentu buat masa ini adalah isu nasional yang saling berkait dengan beberapa faktor termasuk peningkatan harga makanan ternakan dan cuaca serta ia dihadapi oleh kebanyakan negeri bukan sahaja Terengganu.

Dalam pada itu, beliau berkata kekurangan stok bekalan telur turut dipengaruhi peningkatan permintaan ke atas bahan makanan itu berikutan musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

"Bagi membantu mengatasi masalah ini, ada pasar raya yang melakukan kawalan kendiri dan mengehadkan jumlah pembelian. Contohnya, setiap pembeli hanya dibenarkan mengambil dua papan telur sahaja," katanya. – BERNAMA


Tag: