• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pengharaman Jualan Telur Penyu Dikuatkuasa Sepenuhnya Tahun Depan

KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Kerajaan negeri dijangka akan melaksanakan penguatkuasaan pengharaman jualan telur penyu dan tuntung pada tahun 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pindaan Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 1987) kini dalam semakan akhir sebelum dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), November ini.

Katanya, selepas itu, proses undang-undang akan mengambil masa agak lama tetapi yang penting ia mendapat kelulusan sidang DUN nanti.

"Sebelum ini, larangan hanya melibatkan telur penyu belimbing tetapi spesies lain (agar, karah dan tuntung) dibenarkan menyebabkan ia dijual secara terbuka termasuk di Pasar Payang, Kuala Terengganu.

"Ada pihak pernah bertanya kepada saya tentang penjualan telur penyu di Terengganu tetapi peraturan mengizinkan buat masa ini.

"Oleh sebab itu kita perlu pinda peraturan ini supaya larangan penjualan semua jenis telur penyu dikuatkuasakan segera," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas penyerahan input kepada 47 pengusaha secara 'drive thru' bagi memperkasakan tanaman Melon Manis Terengganu di TKM Peradong, Manir, hari ini.

Katanya, pihaknya sedar Terengganu satu-satunya negeri yang masih membenarkan penjualan telur penyu di negara ini.

Tambah Dr. Azman, antara pindaan enakmen ialah kadar denda bagi kesalahan bunuh, ganggu penyu dan sebagainya

"Ada kadar denda yang kita cadangkan untuk dinaikkan kerana angka tahun 1987 dah tak praktikal dengan keadaan sekarang kerana hukuman terlalu ringan dan tak mampu untuk mencegah.

"Kita nak supaya peruntukan dalam enekmen ini bersifat pencegahan. Bila hukuman agak tinggi, secara tidak langsung akan menakutkan orang untuk melanggar peraturan ini," jelasnya.