KUALA TERENGGANU, 11 November - Penghayatan agama telah menjadi asas kehidupan rakyat di negeri ini sehingga menjadikan Terengganu sebagai negeri paling bahagia sebagaimana dilaporkan' Malaysia Happiness index 2024' dengan mencatat skor 8.64 daripada 10 markah penuh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, kebahagiaan bukan diukur dari sudut material atau kemajuan pembangunan semata-mata tetapi hakikat sebenar berakar daripada keimanan, akhlak dan kesejahteraan hati rakyat selama ini sehingga Terengganu dicatatkan sebagai negeri paling bahagia di negara ini.
"Komponen yang menyumbang kepada kebahagiaan itu ialah agama dan spiritual (8.69 ), keluarga (8.64) membuktikan bahawa kebahagiaan sebenar dijana dan dipupuk daripada penghayatan agama dan hubungan kekeluargaan yang harmoni menghasilkan rakyat yang bahagia hidup dalam suasana penuh tenteram.
"Ini membuktikan bahawa rakyat Terengganu bahagia kerana beragama, bukan kerana bermegah,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan 2026 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Justeru, Sulaiman mencadangkan agar segala dasar negeri mesti berpaksikan Islam dan nilai agama agar kebahagiaan terus kekal dirasai.
"Menjadi warisan generasi anak negeri pada masa akan datang dengan bekalan ilmu dan takwa,"ujarnya.