• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Penghuni Institusi Pemulihan Yakin Lebih Selamat Selepas Divaksin

MARANG,10 Oktober - Seramai 30 penghuni Sekolah Tunas Bakti Marang dan 18 Penghuni Asrama Akhlak Rusila yakin Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) merupakan antara langkah efektif dalam memastikan diri selamat daripada jangkitan wabak Covid-19.

Salah seorang penghuninya, yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 17, berkata, dirinya juga seperti masyarakat di luar sana yang mahu perlindungan dan tahu bahawa ia mampu mendatangkan kesan buruk jika tidak divaksinasi.

Katanya, justeru mengambil vaksin adalah sebagai langkah mencegah daripada pandemik tersebut.

"Perasaan saya pada waktu ini sangat gembira dan lega walaupun pada awalnya mengalami perasaan takutkan jarum.

"Hari ini saya dan kawan-kawan menerima vaksin jenis Pfizer dan dimaklumkan beberapa minggu lagi akan mendapat dos kedua," ujarnya ketika ditemui pemberita pada Program Vaksinasi berkenaan, di  Asrama Akhlak Rusila di sini,hari ini.

Manakala bagi seorang lagi penghuni, Suzi, 17, turut berkongsi perasaan lega apabila telah menerima suntikan tersebut.

"Walaupun pada awalnya saya agak takut dan menolak daripada menerima vaksin kerana terdetik perasaan tidak yakin dengan vaksin ini setelah mendapat maklumat negatif mengenainya.

"Namun saya dinasihkan agar jangan mendengar berita-berita yang tidak benar, kerana ia merupakan salah satu usaha pihak kerajaan dalam menangani pandemik ini sekali gus memastikan masyarakat kembali hidup dalam keadaan normal," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Mazura Ngah Abd Manan berkata, pusat pemulihan berkenaan telah mendapat persetujuan daripada ibu bapa masing-masing mengenai program tersebut.

"Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan vaksinasi untuk remaja kita telah mengadakan perbincangan dengan ibu bapa semua penghuni dan masing-masing bersetuju.

"Jadi pihak JKM tidak mendapat sebarang halangan atau masalah, sebaliknya telah menyokong bagi memastikan anak-anak mereka yang ditempatkan di sini mendapat manfaat daripada program vaksinasi ini," ujarnya.

Untuk rekod Asrama Akhlak dan Sekolah Tunas Bakti adalah institusi pemulihan akhlak yang ditubuhkan dibawah Seksyen 65 Akta Kanak-Kanak 2001 bagi pemulihan dan jagaan bagi Kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah dan kanak-kanak yang tidak terkawal.

Objektif Asrama Akhlak adalah memberi pemulihan dan jagaan kepada kanak-kanak yang direman, dalam pemindahan ke Sekolah Tunas Bakti dan mereka yang dalam perintah 'cubaan akhlak' juga kemasukkannya melalui perintah mahkamah bagi Kanak-Kanak dibawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Di Terengganu Asrama Akhlak menempatkan penghuni lelaki, dan Sekolah Tunas Bakti menempatkan penghuni perempuan.

 

 


Tag: