• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pengkaji Oxford Namakan Bunga Unik Sempena Ibu Jurufoto Terengganu

KUALA TERENGGANU, 4 Julai – Para pengkaji daripada universiti tersohor, Oxford Botanic Gardens telah menamakan bunga ‘fairy lantern’ atau lentera peri sempena nama ibu pelancong yang juga jurufoto daripada Terengganu.

Spesimen terbaru itu buat kali pertama ditemukan pada tahun 2019 di Gunung Sarut, Hutan Lindung Hulu Nerus oleh seorang jurugambar bebas, Suzairi Zakaria, 45, atau lebih dikenali dengan nama pena, Dome Nikong.

Hasil penemuan itu, ahli botani dari Oxford Botanic Gardens dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menamakan tanaman mistik itu mengikut ibu Dome, Siti Meriam, sebagai penghormatan terhadap sokongan ibunya terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar anak lelakinya.

“Hampir bersaiz duit syiling 20 sen, ‘Thismia sitimeriamiae’ adalah tanaman berbunga tumbuh di hutan terpencil di seluruh Asia, Australia, Amerika Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Sumber Foto : Facebook Dome Nikong

“Tidak seperti tumbuhan biasa, tanglung peri tidak mempunyai daun atau klorofil untuk proses fotosintesis namun tanaman parasit itu bergantung pada hubungan simbiotik dengan kulat dan akar tumbuhan lain untuk hidup.

“Para saintis memutuskan tumbuhan itu diklasifikasikan sebagai spesies yang terancam,” sepertimana dilaporkan The Rakyat Post.

Terdahulu Dome, 44, yang berasal dari Kampung Sungai Tong, Setiu, juga pernah mendapat pengiktirafan melalui penamaan saintifik bagi spesies orkid liar baharu, ‘Chysis Domei Archila’.

Ahli botani (orkidologi) dari Guatemala, Fredy Leonel Archila Morales berkata, penghargaan itu dibuat sempena jurufoto itu atas sumbangannya terhadap dunia botani.

Untuk pengetahuan, Dome telah dikreditkan dalam lebih daripada 20 penerbitan antaranya buku dihasilnya berjudul Wild Terengganu, memaparkan maklumat berkaitan tumbuhan serta hidupan seperti bunga liar, buah liar serta serangga dalam negeri ini.