Penglibatan Aktif ADUN Belia Perkukuh Hubungan Dengan Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 11 Mac –Penglibatan aktif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dilihat berupaya memperkukuh hubungan dengan golongan belia dan masyarakat setempat.
ADUN Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penglibatan ADUN Belia dalam program kemasyarakatan amat penting bagi memastikan potensi kepimpinan mereka dapat diketengahkan.
“Keberadaan ADUN Belia ini adalah melalui pelantikan, justeru kita mahu melihat mereka memainkan peranan yang signifikan di peringkat DUN. Jika mereka tidak diberi ruang untuk terlibat dalam program, mungkin bakat dan potensi yang ada tidak dapat diserlahkan sepenuhnya.
“Selain itu, mereka juga tidak mempunyai peruntukan khusus untuk menganjurkan program sendiri. Oleh itu, dengan adanya program yang kita laksanakan di DUN, mereka boleh turut serta dan menyumbang tenaga serta idea,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan turut memaklumkan bahawa DUN Wakaf Mempelam telah merangka beberapa program sepanjang tahun 2025 yang akan melibatkan penyertaan ADUN Belia secara aktif.
Sementara itu, ADUN Belia DUN Wakaf Mempelam, Mohd Lokman Hakim Mohd Zol menyatakan rasa teruja apabila diberi peluang menyertai program kemasyarakatan, terutamanya dalam bulan Ramadan.
“Saya melihat mesej yang disampaikan melalui program ini sangat baik, khususnya dalam aktiviti penyediaan makanan kepada masyarakat yang memerlukan.
“Selain memberi manfaat kepada penerima, ia turut memberi hikmah kepada diri saya sendiri untuk lebih bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat yang dikurniakan,” katanya.
Beliau turut hadir bersama-sama ADUN Wakaf Mempelam bagi menyantuni 50 orang penduduk Kampung Seberang Baroh dan berbuka puasa di rumah rakyat, sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan serta mengeratkan hubungan antara pemimpin belia dan masyarakat setempat.
Beliau yang aktif dalam program pembangunan belia juga berkongsi hasratnya untuk menjadikan DUN Wakaf Mempelam sebagai pusat pembudayaan ilmu dalam kalangan anak muda.
“Saya sering melibatkan diri dalam aktiviti bersama golongan belia, termasuk program pembudayaan ilmu seperti mengajar mengaji di Masjid Merbau Patah, menyampaikan tazkirah dan menjadi imam.
Tambahnya lagi, aspek kesukanan juga menjadi teras dalam usaha menarik minat belia untuk terlibat secara aktif dalam komuniti serta menggalakkan gaya hidup sihat. Menurutnya, sukan bukan sahaja menyatukan masyarakat tetapi juga mampu melahirkan pemimpin belia yang berdisiplin, berdaya saing dan berfikiran positif.
"Saya percaya bahawa sukan adalah platform terbaik untuk mengeratkan ukhuwah sesama anak muda. Oleh itu, saya turut menyertai serta terlibat dalam penganjuran pelbagai aktiviti sukan di peringkat DUN seperti bola sepak bagi memastikan belia di DUN Wakaf Mempelam sentiasa aktif dan terarah ke arah perkara yang bermanfaat,” jelasnya.