• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penguatkuasaan Syariah Dilaksana Berperingkat, Perlu Seimbang

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - Agenda penguatkuasaan syariah kepada masyarakat dan pelancong muslim akan terus dilaksana secara berperingkat dan perlu ada keseimbangan dengan perkara lain.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata setiap tindakan yang diambil kerajaan negeri adalah berdasarkan perkara yang boleh dikompromi dan sebaliknya.

"Dalam konteks kerajaan kita sudah ada garis panduan pematuhan syariah kepada pelancong, program sukan dan seumpamanya, tetapi sebagaimana yang saya sebutkan tadi kita perlu bergerak seiring dan dalam perkara yang kita tidak boleh kompromi kita mesti tegas," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, semalam.

Jelas Dr Muhammad Khalil, pihaknya akan memastikan garis panduan pematuhan syariah kepada pelancong muslim bergerak seiring dengan perkembangan sektor pelancongan negeri kerana kedua-duanya saling berkait rapat.

Ini kerana kata beliau, walaupun perkara tersebut menjadi satu cabaran tetapi dalam masa yang sama ia perlu dilihat dari sudut yang positif. 

"Bila kita bercakap pasal pelancongan, kita hendak pelancong datang ke tempat kita, tetapi dalam masa yang sama kita hendak menjaga adat dan nilai agama khususnya daripada pelancong asing.

"Sebab itu kadang-kadang kita berada dalam keadaan dilema, kita nak buka seluas-luasnya bimbang bermacam-macam perkara negatif yang boleh berlaku.

"Jika kita nak tutup orang kata kita ini negeri yang tertutup. Jadi kita perlu seimbangkan di antara kedua-dua perkara ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md. Noor yang meminta kerajaan negeri mengambil tindakan lebih tegas terhadap pelancong Islam yang berpakaian mencolok mata ketika berada di tempat pelancongan di negeri ini.

Tambahnya lagi, perkara tersebut juga perlu menjadi tanggungjawab bersama. 

"Kalau kita nampak kita boleh tegur tetapi jika sekiranya satu maksiat dan kemungkaran itu berlaku secara terang-terangan ini perlu ditegah dengan sekeras-kerasnya.

"Kita juga perlu bergerak seiring, bukan sahaja ada peraturan yang telah kita luluskan tetapi dalam masa yang sama wujudnya agenda penerangan dan dakwah secara berterusan, peraturan itu ada tetapi dalam masa yang sama kita juga mendidik masyarakat.

"Kita nak orang datang ke Terengganu, para pelancong khususnya supaya mereka tahu Negeri Terengganu ini ada peraturan," ujarnya.