• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penguatkuasaan Undang-Undang Kurangkan Impak Perubahan Iklim

KUALA TERENGGANU, 14 September - Kerajaan negeri akan memastikan penguatkuasaan undang -undang berkaitan alam sekitar diberikan keutamaan bagi mengurangkan impak perubahan iklim terhadap ekonomi di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata sebagai Exco yang bertanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan negeri, beliau akan melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkan impak perubahan iklim walaupun berhadapan dengan cabaran besar.

Menurut beliau, akibat bencana alam yang melanda Terengganu pada awal Disember 2022 hingga 9 Januari 2023 lalu, lebih RM38.2 juta kerugian yang terpaksa ditanggung oleh orang awam yang terkesan akibat banjir. 

"Kita akan memperkasakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti solar dan tenaga hidroelektrik.

"Seterusnya memperkukuhkan pembangunan lestari di setiap peringkat dan menganjurkan kempen kesedaran terutama menerusi media sosial baharu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihaknya juga 
akan mewartakan lebih banyak hutan simpan, pemuliharaan alam flora dan fauna serta mengamalkan budaya kebersihan dan budaya kitar semula.

Jelasnya, jika berlaku peningkatan bencana alam sudah tentu menghalang pertumbuhan ekonomi termasuk aktiviti hiliran yang memberi impak besar kepada infrastruktur, pekerjaan, pelancongan, perniagaan, kewangan dan kerajaan.

"Semoga kesedaran tinggi terus tersemat dalam diri kita semua bagi memastikan langkah yang bakal diambil berjaya mengurangkan impak perubahan iklim di Terengganu," ujarnya.